KOTA BHARU: Pas Kelantan tidak bimbang dengan gabungan yang dicetuskan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bersama Parti Amanah dan Pakatan Harapan (PH), bertujuan menawan kembali negeri itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, menurut Ketua Penerangan Pas Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud, kebiasaannya, ketetapan untuk sesebuah parti menjalinkan kerjasama dibuat oleh parti, dan bukannya individu.

"Siapa hendak bekerjasama, terpulanglah. Tetapi kaedah yang selalu digunakan mana-mana parti yang hendak bekerjasama, perlu ada keputusan parti.

"Jarang berlaku, individu buat kerjasama, tanpa keputusan rasmi parti. Pas pun masih ada kerjasama dengan PN (Perikatan Nasional) dan MN (Muafakat Nasional).

"Dan kita selalu sebut, orang Islam wajib bersatu. Ini pendirian kita. Jelas. Dan bukan sahaja bersatu sesama Islam, bahkan bukan Islam yang tak ekstrem pun, kita ajak bersatu dalam satu Keluarga Malaysia.

"Kalau ada orang lain, dengan matlamat lain, itu terpulanglah kepada individu itu. Dia kata nak tawan Kelantan, kita nak pertahankan Kelantan, itu biasalah," katanya di sini semalam.

Beliau ditemui ketika meraikan pengamal media Kelantan di bawah Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan.  

BACA: Ku Li mula langkah rampas Kelantan, ketuai Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan 

Mohd Nassuruddin diminta mengulas berhubung sebuah gabungan baharu diberi nama Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan yang dikepalai Tengku Razaleigh.

Gabungan itu, yang merupakan satu kerjasama rentas parti, ditubuhkan dengan tujuan menumbangkan kerajaan pimpinan Pas Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Kelantan di bawah kuasa Pas sejak lebih 32 tahun yang lalu.

Mohd Nassuruddin berkata, berdasarkan rekod lalu, rakyat Kelantan masih utuh memberikan sokongan dan mempertahankan Pas sebagai kerajaan yang mentadbir negeri itu.

Namun, tambahnya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, sesiapa sahaja boleh menjalinkan kerjasama untuk tujuan politik, tetapi akhirnya rakyat yang membuat keputusan.