POLITIK

Pas tolak kerjasama 'Kolaborasi Agung' melibatkan Pakatan Harapan

Astro Awani 19/01/2026 | 11:15 MYT
Abdul Hadi menganggap Kerajaan Perpaduan yang direalisasikan oleh PH merupakan konsep bebas tanpa sempadan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pas menolak sebarang bentuk kerjasama melalui jenama 'Kolaborasi Agung' melibatkan Pakatan Harapan (PH).

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menganggap Kerajaan Perpaduan yang direalisasikan oleh PH merupakan konsep bebas tanpa sempadan.

“Inilah alasan Pas tidak bersama Kerajaan Perpaduan yang berkonsepkan bebas tanpa sempadan ketetapan Allah yang telah direalisasikan oleh PH.

“Melibatkan kumpulan yang menganut fahaman pluralisme, liberalisme, termasuk kumpulan ekstrem serta syaitan bisu terhadap kemungkaran dan lain-lain,” kata Hadi melalui kenyataan Minda Presiden yang disiarkan di Facebook miliknya hari ini.

Abdul Hadi menegaskan keadaan tersebut boleh menyebabkan perpecahan dalam setiap parti komponen dalam sebuah gabungan politik.

Ahli Parlimen Marang itu juga menyifatkan konsep “perpaduan agung” adalah laksana kapal induk yang besar dan sedang mengalami masalah kebocoran.


“Keadaan ini laksana bersama para penumpang dalam sebuah bahtera yang sedang parah kebocorannya walaupun diberi jenama 'perpaduan agung'. Laksana kapal induk yang besar tetapi semakin membesar kebocorannya,” katanya.

Pada masa sama, Hadi berkata Pas inginkan konsep perpaduan yang berpayungkan kerajaan yang menunaikan kewajiban memimpin bukan berkuasa kerana harta dan takhta malah dihormati kerana gentar terhadap tindakan zalim.

“Kita mahukan perpaduan yang berpayungkan kerajaan yang menunaikan kewajipan memimpin yang merupakan amanah besar daripada Allah, dan ditaati kerana menghormati keadilannya.

“Bukan pemimpin yang menjadikan kuasanya kerana harta dan takhta yang dimuliakan, dan mereka dihormati kerana takut akan kezalimannya,” ujarnya lagi.



#Abdul Hadi Awang #PAS #Kerajaan Perpaduan #Perpaduan Agung