KUALA LUMPUR: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Rengit, Datuk Mohd Puad Zarkashi menuduh bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa sebagai seorang hipokrit.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya, Mohd Puad berkata, Annuar pernah mempertahankan perjanjian memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan DAP ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri (PM).

"Naratif mereka sekarang ialah “No Anwar, No Dap”. Padahal tular video Annuar yang kata, apa salahnya bekerjasama dengan DAP. Dia juga mempertahankan “MoU dengan DAP” bila Ismail Sabri jadi PM.

"Apakah itu bukan bersekongkol dengan DAP? DAP dapat peruntukan sama banyak dengan MP (Ahli Parlimen) BN (Barisan Nasional). Bahkan dia kata MoU itu tidak ada had masa. Kalau batalkan MoU itu, BN boleh disaman. Begitu sekali dia suka DAP," katanya.

Mohd Puad juga mendakwa Annuar menuduh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menguasai UMNO kerana terdapat ura-ura BN akan menyertai kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Annuar lupa sejarah UMNO duduk dalam kerajaan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin). Tidakkah Muhyiddin menguasai MP (Ahli Parlimen) UMNO? Dia lantik menteri UMNO tanpa peduli hirarki UMNO. Annuar jadi menteri juga.

"Annuar patuh cakap Muhyiddin daripada cakap parti. Dia pertahankan keputusan Muhyiddin isytihar darurat dan gantung Parlimen. Mujur Yang di-Pertuan Agong batalkan darurat.

"Annuar berkomplot menentang keputusan Perhimpunan Agung (UMNO). Beliau cuba halang parti keluar daripada kerajaan PN (Perikatan Nasional). Dia mahu Muhyiddin kekal jadi PM (Perdana Menteri)," katanya.

Mohd Puad turut mendakwa Annuar juga cuba menghalang Parlimen dibubarkan awal sebelum pemilihan parti.

"Senanglah beliau dan kumpulannya menang pemilihan parti ketika mereka masih menjadi menteri," dakwa Mohd Puad lagi.

Beliau berkata, tambah hipokrit, apabila Annuar mendesak pemimpin parti jangan 'tembak kaki sendiri', tetapi Annuar kini 'menembak' kakinya sendiri.

"Dia salahkan Presiden, apa kurangnya dia. Dia juga punca kekalahan. Tidak patuh keputusan parti adalah kesalahan besar.

"Annuar kena nafi, betulkah pada malam terakhir wujud perundingan untuk dia jadi calon PN di Ketereh?" soal Mohd Puad.

Annuar dalam hantaran di Facebooknya malam tadi mendakwa, wujud konspirasi terancang apabila ada pihak cuba mengelirukan Yang di-Pertuan Agong dalam soal pemilihan Perdana Menteri ke-10.