KUALA LUMPUR: Perkongsian kuasa melalui Parlimen merupakan jalan yang boleh difikirkan untuk menyelesaikan kebuntuan pembentukan kerajaan ketika ini.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) berkata, ia dilihat lebih efektif daripada kerajaan perpaduan yang dicadangkan banyak pihak kerana ia boleh memastikan elemen semak dan imbang di Parlimen yang lebih berkesan.

Dalam satu kenyataan, Bersih menegaskan, faktor perpecahan ketara juga akan menyukarkan kerajaan perpaduan berfungsi sebagaimana sepatutnya.

"Sebagai ganti, Bersih mencadangkan susunan perkongsian kuasa pelbagai guna untuk memenuhi matlamat perwakilan, persaingan dan akauntabiliti.

"Salah satu Pakatan Harapan atau Perikatan Nasional akan menerajui kerajaan, manakala yang satu lagi akan mengetuai kabinet bayangan dengan gaji, sumber dan akses maklumat yang setimpal.

"Blok dan parti yang lebih kecil mempunyai tiga pilihan di Parlimen, iaitu sebagai rakan kongsi 'junior' dalam kerajaan campuran, pembangkang yang menyokong kerajaan atas dasar Confidence and Supply Agreement (CSA), atau pembangkang penuh.

"Keseluruhan barisan hadapan kerajaan tidak boleh melebihi 25 peratus Dewan Rakyat iaitu 55 menteri dan timbalan menteri keseluruhannya dan maksimum kira-kira 27 kementerian. Setiap kementerian akan diteliti oleh hanya seorang menteri bayangan yang akan dibayar separuh daripada gaji menteri dan menyediakan kakitangan polisi tetapi tiada faedah lain.

"Bagi setiap kementerian, juga akan ada jawatankuasa pilihan parlimen, diisi oleh kedua-dua penyokong kerajaan dan pembangkang, dengan kakitangan polisinya sendiri. Pengerusi dan timbalan pengerusi setiap jawatankuasa pilihan parlimen akan dibayar sebahagian kecil daripada gaji menteri, tetapi kurang daripada yang diterima oleh menteri bayangan.

"Setiap Ahli Parlimen, kecuali Speaker, Timbalan Speaker, Menteri, Timbalan Menteri, Menteri Bayangan akan mendapat sekurang-kurangnya satu jawatankuasa pilihan parlimen," katanya.

Secara keseluruhannya, Bersih memaklumkan, kira-kira lima Ahli Parlimen boleh ditugaskan untuk menjaga setiap kementerian, iaitu Menteri dan Timbalan Menteri dalam pentadbiran, menteri bayangan di bangku hadapan Pembangkang, dan pengerusi dan timbalan pengerusi yang bersidang dalam jawatankuasa Parlimen.