Pasca PRU15: BN diwakili tiga pemimpin, GPS selesai menghadap Agong

Hasimi Muhamad
November 23, 2022 04:14 MYT
Presiden Barisan Nasional , Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas bertemu YDPA Agong di Istana Negara. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Tiga pemimpin kanan Barisan Nasional (BN) dan wakil pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) dilihat meninggalkan Istana Negara selepas hampir 40 minit menghadap Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, kesemua mereka tidak memberhentikan kenderaan dan memberikan sebarang kenyataan hasil daripada sesi berkenaan.
Mereka ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohammad Hasan; serta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Pemimpin BN yang memasuki Istana Negara pada jam 10.45 pagi dilihat meninggalkan Istana Negara pada jam 11.25 pagi.
Setakat jam 12 tengah hari, Astro AWANI mendapati 27 ahli BN yang lain belum tiba di Istana Negara.
LAPOR LANGSUNG: Pasca PRU15: Siapa Perdana Menteri ke-10?
Sementara itu, pemimpin GPS yang dilihat memasuki di Istana Negara sekitar pukul 11 pagi pula meninggalkan Istana Negara pada jam 11.50 pagi.
Mereka diwakili oleh Datuk Seri Fadillah Yusof; Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Datuk Seri Richard Riot Jaem.
Memetik laporan Utusan Borneo, Fadillah mengesahkan gabungan berkenaan kekal menyokong Perikatan Nasional (PN).
KEPUTUSAN PRU15 DI SINI
Istana Negara semalam menitahkan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menghadap Yang di-Pertuan Agong bermula pukul 10.30 pagi ini.
Proses berkenaan bagi membolehkan Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.
#Ahmad Zahid Hamidi #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Parlimen Tergantung