KUALA LUMPUR: Tan Sri Annuar Musa mendakwa wujud konspirasi sejak sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyebabkan proses pemilihan perdana menteri menjadi sukar.

Dalam satu kenyataan di Facebook malam ini, Annuar berkata pihak yang bertindak sedemkian tidak menyedari perkara itu menjadi satu kesalahan besar serta tidak sah.

"Pertama, dasar parti 'No Anwar, No DAP' diputuskan dalam perhimpunan agung adalah 'binding' (mengikat) semua orang dan tak boleh dirombak mana-mana individu. Sebarang tindakan bercanggah dengan dasar parti adalah 'null and void'.

"Kedua, pendirian anggota parlimen dipilih, untuk menentukan siapa mereka sokong bagi memegang jawatan Perdana Menteri, mesti dibuat tanpa sebarang tekanan sesiapa. Ahli berhak membuat keputusan mengikut dasar parti diputuskan secara sah.

"Sebarang dokumen lain cuba dimanipulasi adalah terbatal dan tidak sah serta tidak mengikut perlembagaan," katanya.

Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu juga mendakwa, pihak terbabit mengemukakan dokumen bercanggah Perlembagaan dan bertentangan keputusan Dewan Tertinggi bagi mengelirukan Yang di-Pertuan Agong dalam soal pemilihan Perdana Menteri ke-10.

"Difahamkan ada pihak sekali lagi cuba 'mislead' (mengelirukan) Yang di-Pertuan Agong dengan dokumen bukan saja bercanggah Perlembagaan malah bertentangan keputusan Dewan Tertinggi BN hari ini.

"Perbuatan menjayakan 'konspirasi terancang' ini amat dan melanggar resolusi diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO sebelum ini serta keputusan Dewan Tertinggi BN," ujarnya lagi.

Terdahulu, semua 30 Ahli Parlimen BN dilaporkan sepakat memutuskan untuk berkecuali daripada menyokong mana-mana nama dicalonkan sebagai Perdana Menteri, selain bersedia untuk menjadi pembangkang.

Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi dilaporkan membincangkan pendirian BN dan ahli parlimen berhubung pelantikan Perdana Menteri serta penubuhan kerajaan baharu selepas PRU15.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan 30 Ahli Parlimen BN untuk mengadap baginda secara individu di Istana Negara, pada Rabu, jam 10.30 pagi.