KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan memberi bayangan bahawa sudah ada ‘pilihan hati’ dibuat berhubung gabungan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Begitu pun, kata Ahli Parlimen Tapah itu, ia perlu mendapat persetujuan parti.

“Pilihan hati sudah ada tetapi kena tengok pilihan parti,” katanya ringkas kepada pemberita di lobi Menara Dato’ Onn di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Khalid Nordin pula tidak menolak kemungkinan antara agenda Mesyuarat Dewan Tertinggi BN ialah menyentuh mengenai akuan berkanun (SD).

“(Agenda utama pasal SD?) Mungkin.

“Agenda utama pasal parti,” tambahnya.

Sementara itu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin secara berseloroh berkata SD yang akan ditandatangani ‘menyokong’ beliau sebagai calon Perdana Menteri ke-10.

“(Siapa calon PM ke-10) Saya…,” ujarnya.

Terdahulu, ahli BN dilihat tiba di ibu pejabat Menara Dato’ Onn di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), dekat sini.

Antaranya ialah Datuk Johari Abdul Ghani; Datuk Seri Samsul Anuar Nasarah; Datuk Mohamad Alamin; Datuk Seri Jalaluddin Alias; serta Datuk Seri Husni Mohammad.

Selain itu barisan kepimpinan MCA iaitu Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MCA, Datuk Mah Hang Soon serta Setiausaha Agung MCA, Chong Sin Woon.

Kesemua pimpinan tertinggi UMNO dan parti gabungan yang lain termasuk MCA dan MIC dijangka menentukan hala tuju bagi membentuk Kerajaan Persekutuan.