POLITIK

Pasca-PRN Sabah: Penyertaan BN dalam kerajaan negeri demi kestabilan politik - Ahmad Zahid

Astro Awani 03/12/2025 | 06:00 MYT
Ahmad Zahid berkata keputusan itu dibuat selepas menerima permintaan untuk mengemukakan nama bagi pelantikan, yang kemudian disusuli dengan proses angkat sumpah.- Gambar/ FB Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR: Penyertaan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Sabah yang dipimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mewujudkan kestabilan politik, susulan kerjasama antara kedua-dua parti itu pada peringkat Persekutuan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu dibuat selepas menerima permintaan untuk mengemukakan nama bagi pelantikan, yang kemudian disusuli dengan proses angkat sumpah.

“Ini hakikat politik. Kita tidak boleh jumud dengan keadaan. Apabila diminta mengemukakan nama bagi pelantikan, maka nama itu dikemukakan dan pelantikan serta angkat sumpah dibuat,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa politik bersifat pragmatik dan perlu diterima demi menjana kestabilan politik yang menjadi keutamaan untuk mensejahterakan rakyat Sabah.

“Jangan ada perasaan keangkuhan yang tinggi kerana hakikat politik itu sangat pragmatik. Ia mesti diterima untuk menghadapi dan menjana kestabilan politik yang menjadi keutamaan bagi mensejahterakan rakyat Sabah. Itulah semangat yang kami bina bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Kemuncak Perbincangan Cyberjaya 2025 di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, pelantikan Kabinet Sabah adalah hak sepenuhnya Ketua Menteri, dengan persetujuan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

"Jadi, persetujuan melalui perbincangan dibuat supaya biarpun BN tidak bersama-sama GRS bagi menghadapi pilihan raya, tetapi hakikatnya pascapilihan rakyat suasana dan situasi politik berubah. Mereka harus mengetahui hal ini.

"Mereka harus mengetahui jika di Putrajaya, kita ada Kerajaan Perpaduan, maka atas semangat mewujudkan kestabilan politik, maka BN bersama-sama GRS bersetuju bagi memulakan pembentukan Kerajaan Perpaduan (di Sabah), diikuti parti lain termasuk daripada Bebas yang asalnya juga daripada GRS dan parti lain," katanya.

Semalam, media melaporkan, seramai 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS dan beberapa ADUN Bebas didakwa tidak berpuas hati terhadap keputusan membenarkan BN Sabah menyertai kerajaan baharu yang dibentuk Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, kelmarin.

Daripada keseluruhan barisan Kabinet baharu itu, GRS mendominasi dengan tujuh portfolio menteri, manakala Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Pakatan Harapan (PH), masing-masing diberikan satu portfolio.

Pada masa sama, BN yang tidak bekerjasama dengan GRS pada PRN itu turut menerima satu portfolio.

Pada PRN Sabah Ke-17, GRS memperoleh 29 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan, Parti Warisan (25), BN (6), Bebas (5), UPKO (3), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (2), manakala Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan PH, masing-masing menang satu kerusi.



#Ahmad Zahid Hamidi #Barisan Nasional #Gabungan Rakyat Sabah GRS #PRN Sabah