KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu dihormati atas kapasiti beliau memegang jawatan nombor satu negara.

Perwakilan Perak, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, Ismail Sabri mesti dihormati bukan atas dasar namanya secara peribadi tetapi atas tanggungjwab besar yang digalas di bahunya.

"Kita menghormati Perdana Menteri, bukan atas nama Datuk Seri Ismail Sabri kerana esok-esok beliau boleh 'pergi' tapi sebab beliau memikul satu amanah yang besar.

"(Jawatan) Perdana Menteri itulah yang perlu dihormati dan kebetulan Ismail Sabri jadi Perdana Menteri, jadi kita hormatlah beliau waktu beliau menjawat jawatan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung (PAU) UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, tular sekeping gambar yang memaparkan Ismail Sabri berdiri di atas lantai simen ketika bergambar bersama barisan kepimpinan utama UMNO dan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak semasa pembukaan PAU 2021.

Ekoran itu, netizen mengkritik tindakan itu yang seolah-olah menyisihkan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO.

Mengulas lanjut Azhar menegaskan, institusi Presiden UMNO juga mesti dihormati dan ia juga bukan atas dasar peribadi atau atas nama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetapi berpandukan jawatan yang dipegang.

Perhimpunan Agung UMNO 2021

Sementara itu katanya, UMNO memilih untuk bergerak secara solo dalam pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini kerana mahu kembali menjadi parti dominan di negara ini.

Menurutnya, tidak akan wujud kestabilan dalam sesebuah negara sekiranya tiada mana-mana parti yang tidak menjadi dominan.

"Untuk kestabilan politik di negara ini, mahu tak mahu UMNO mesti menjadi dominan dalam pemerintahan negara ini," tegasnya.


Artikel asal di Sinar Harian