KUALA LUMPUR: Asimilasi politik antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) membuatkan ramai ahli UMNO berasa kekok dengan keadaan itu.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi mengakui sayap UMNO itu antara yang berasa canggung dengan perubahan itu dan memerlukan masa dan ruang secukupnya untuk menyesuaikan diri perubahan berkenaan.

Namun, Nurul Amal menjelaskan Puteri UMNO mengakui bahawa asimilasi atau penyesuaian politik itu bukan suatu perkara baharu.

Mengulas lanjut, katanya, Puteri UMNO sudah sememangnya terbiasa dengan lenggok tersendiri dalam arena politik tanah air, selain menjelaskan sebati dengan budaya serta tradisi parti berkenaan yang diwarisi sejak dahulu.

"Saya faham, hendak terima perkara baharu dan asing pasti sedikit aneh, mungkin masih lagi ada rasa terkejut (dengan asimilasi politik BN bersama PH).

"Ibarat 'ditelan mati emak, diluah mati bapa'. Tidak mengapa, kita beri ruang dan masa seluasnya, sampai masa, saya yakin, kita boleh sesuaikan diri," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Puteri UMNO di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan banyak negara di dunia hari ini melakukan asimilasi politik bagi menstabilkan kedudukan kerajaan yang turut memberi impak besar kepada perkembangan ekonomi negara.

"Kita juga tidak terlepas, dominasi semakin mengecil, asimilasi semakin melebar, perpaduan tampak sinarnya.

"Kita harapkan sampai masanya mereka (akar umbi) boleh menerima, walaupun mungkin ada yang sampai bila-bila tidak boleh menerima asimilasi politik ini," katanya.

Pentas Persidangan Puteri UMNO berlangsung hari ini membabitkan 1,134 perwakilan.

Antara yang turut hadir adalah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Ahli Majlis Kerja Tertingginya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Datuk Seri Shahaniza Shamsudin dan Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii.

Hadir sama, Ahli Jawatankuasa DAP merangkap Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ketua Srikandi PKR, Anetha Pillai dan Ketua Wanita Muda Amanah, Nurthaqaffah Nordin.