KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menegaskan tidak akan berundur daripada mempertahankan agenda penyatuan ummah, meskipun berdepan tekanan, penghinaan dan usaha untuk memecah-belahkan perjuangan berkenaan.
Ketuanya Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pergerakan itu bukan sahaja memainkan peranan dalam memulakan gelombang penyatuan, malah akan berada di barisan hadapan bagi memastikan agenda berkenaan terus dipertahan.
“Apabila kita dah mulakan gelombang penyatuan ummah ini, dah tentu ada yang panas hati, dah tentu ada yang merah mata… macam-macam fitnah dia hamburkan.
“Kamu lukislah, kamu hinalah, kamu tekanlah, tetapi saya tidak akan sama sekali tunduk dan berpatah balik untuk menggadaikan penyatuan ummah ini,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.
Tambahnya, tugas Pemuda kini jauh lebih berat kerana selepas membuka jalan penyatuan tiga tahun lalu, pergerakan itu perlu memastikan penyatuan tersebut terus dipelihara dan diperkukuh.
Menurutnya, usaha memecah-belahkan penyatuan itu sememangnya dijangka semakin kuat seiring dengan perkembangan gelombang berkenaan.
“Dari hari pertama kita dah sedar, makin besar gelombang ini, makin kuat usaha untuk memecahkannya,” katanya.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal menegaskan konsep penyatuan ummah dan penyatuan Melayu-Islam tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada masyarakat bukan Melayu.
“Membela Melayu bukan bererti nak bermusuh dengan orang bukan Melayu. Memartabatkan Islam bukan bererti menafikan hak penganut lain.
“Ini kerana, dalam Islam, kita diajar, kepimpinan yang kuat mestilah kepimpinan yang mampu berlaku adil kepada seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya lagi.
Beliau berkata Barisan Nasional (BN) juga mempunyai rekod dalam memastikan setiap parti komponen dapat mempertahankan identiti masing-masing tanpa menafikan hak kaum lain.
Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka (ADUN) Merlimau itu turut menegaskan perjuangan mempertahankan orang Melayu, agama Islam dan institusi Raja-raja Melayu tidak bermakna hak masyarakat Cina dan India akan diketepikan.
Katanya, penyatuan yang diperjuangkan Pemuda UMNO juga tidak seharusnya terhad kepada kerangka politik semata-mata, sebaliknya perlu memberi kesan secara langsung kepada kehidupan rakyat.
“Penyatuan tak boleh berhenti di meja politik saja. Hari ini kita bercakap pasal penyatuan ummah, ya betul, itulah fundamental kita, itulah asas perjuangan kita. Tetapi itu tak cukup lagi.
“Penyatuan mestilah dilihat sampai ke meja makan rakyat,” katanya.