Skip to main content

Politik

PAU 2026: 'Kalau kerjasama dengan PH, saya tak mahu jadi calon PRN Melaka' - Akmal Saleh

KUALA LUMPUR, 10 Sept - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyampaikan ucapan dasar pada Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2026 sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Muhamad Akmal menambah, Melaka bukan sekadar medan menghadapi pilihan raya, sebaliknya menjadi ujian untuk melihat kemampuan parti Melayu itu menukar kesedaran kepada tindakan, penyatuan kepada dasar serta dasar kepada kekuatan - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan beliau tidak mahu bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, sekiranya UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Beliau berkata pendirian itu telah dinyatakan berulang kali, sambil menegaskan keyakinannya bahawa Melaka mampu dikekalkan di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN).

"Kalau kerjasama di Melaka ini dengan PH, saya nak ulang sekali lagi, di pentas keramat ini, sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, saya sama sekali tidak mahu menjadi calon kalau PH ada di Melaka ini.

"Tapi saya percaya Datuk Seri (Presiden UMNO), bukan orang yang tidak bijak. Datuk Seri penuh kebijaksanaan dan Datuk Seri bukan tak nak tengok Ketua Pemuda UMNO tak bertanding," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Muhamad Akmal menambah, Melaka bukan sekadar medan menghadapi pilihan raya, sebaliknya menjadi ujian untuk melihat kemampuan parti Melayu itu menukar kesedaran kepada tindakan, penyatuan kepada dasar serta dasar kepada kekuatan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut meminta kepimpinan UMNO memastikan Melaka "dibirukan", susulan prestasi BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang menunjukkan sokongan kukuh dalam kalangan pengundi muda.

Ujarnya lagi, Pemuda UMNO bersedia bekerja bagi memastikan kerajaan BN di Melaka bukan sahaja dikekalkan, malah diperkukuh serta dipertingkatkan.

Beliau menjelaskan keyakinan itu turut bersandarkan kepada prestasi UMNO dalam kalangan pengundi muda pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, hampir 90 peratus saluran muda di seluruh Johor dimenangi UMNO, manakala di Negeri Sembilan, lebih 95 peratus saluran muda turut dimenangi parti itu.

Dalam dalam ucapan sama, Muhamad Akmal juga menegaskan Pemuda UMNO tidak akan mencalonkan semula mana-mana wakil daripada sayap itu pada pilihan raya akan datang, jika mereka malas dan mengutamakan kepentingan peribadi.

"Saya tegas, Tok Mat (Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan), jika ada mana-mana wakil rakyat daripada Pemuda yang kepentingannya melebihi parti, maka saya tak teragak-agak untuk tidak mencalonkannya pada pilihan raya akan datang," katanya.

BN menang bergaya di 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor ke-16 yang berlangsung pada 11 Julai lalu, manakala di Negeri Sembilan, BN menang 18 daripada 36 kerusi yang dipertandingkan.

Must Watch Video

Advertisement