Skip to main content

Politik

PAU 2026: Wanita muda perlu diberi ruang buat keputusan, memimpin - Nurul Amal

[TB]_PAU 2026, Nurul Amal Mohd Fauzi_Puteri UMNO
Nurul Amal menegaskan tuntutan penyertaan 30 peratus wanita tidak boleh terus dibiarkan sekadar menjadi retorik atau angka yang diulang-ulang dalam ucapan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peluang nyata. - Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri UMNO menyeru agar wanita muda diberi ruang dan kuasa membuat keputusan dalam parti serta kepimpinan negara, dan tidak lagi sekadar dianggap sebagai penggerak jentera mahupun 'penyeri' kempen semata-mata.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata sudah tiba masanya wacana politik beralih daripada sekadar menyentuh perihal penyertaan wanita kepada pengiktirafan hakiki dalam membuat keputusan di semua peringkat pentadbiran.

"Wanita muda bukan sekadar diperlukan untuk menggerakkan jentera, bukan sekadar memenuhi dewan dan bukan sekadar menjadi wajah kempen. Kita mesti diberikan ruang untuk memimpin.

"Daripada cawangan ke bahagian, daripada organisasi ke pentadbiran, serta daripada akar umbi hingga ke Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, pada Khamis.

Nurul Amal menegaskan tuntutan penyertaan 30 peratus wanita tidak boleh terus dibiarkan sekadar menjadi retorik atau angka yang diulang-ulang dalam ucapan, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peluang nyata.

Sehubungan itu, beliau menggesa pucuk pimpinan parti memberi ruang sewajarnya kepada wanita muda yang berkebolehan dan diterima rakyat untuk diketengahkan sebagai calon apabila tiba masa penentuan pilihan raya kelak.

"Bukan kerana mereka wanita muda, tetapi kerana mereka mempunyai kemampuan untuk memimpin," tegas beliau.

Dalam pada itu, Nurul Amal turut membuat rayuan terus kepada barisan kepimpinan parti, khususnya Presiden UMNO, agar tidak memandang sepi usul-usul yang dibangkitkan oleh sayap berkenaan.

Jelasnya, setiap usul yang dibawa Puteri UMNO adalah cerminan denyut nadi dan suara akar umbi yang mempunyai kredibiliti serta nilai tersendiri, dan bukannya sekadar pengisi agenda persidangan.

"Kami membawa usul bukan sekadar untuk memenuhi agenda persidangan, malah jauh sekali hanya untuk menjadi nota yang kemudiannya dilupakan.

"Justeru, secara ikhlas dan jujur, saya menyeru kepada pimpinan parti agar pandangan dan suara Puteri yang telah diangkat sebagai usul sebelum ini diberikan perhatian serta jawapan yang sewajarnya," katanya.

 

Must Watch Video

Advertisement