PAU2021: Puteri UMNO desak pemilihan parti dibuat setiap kali selepas PRU - Zahida

Raja Hisyam Raja Zaid
Mac 17, 2022 03:18 MYT
Perlembagaan UMNO harus dipinda bagi mengelakkan daripada berlaku krisis dalaman parti terutamanya peringkat kepimpinan, kata Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarikh Khan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Puteri UMNO mendesak agar Perlembagaan parti itu dipinda bagi membolehkan pemilihan parti itu hanya dilaksanakan selepas setiap Pilihan Raya Umum (PRU).
Ketuanya, Datuk Zahida Zarikh Khan berkata, pindaan itu perlu bagi mengelakkan daripada berlaku krisis dalaman parti terutamanya peringkat kepimpinan.
Menurut Zahida, memandangkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) merupakan punca kuasa tertinggi dalam parti kita, justeru, beliau memilih menyuarakan desakan itu bagi memastikan suara Puteri didengari pucuk pimpinan.
Tambah beliau, ada segelintir ahli dan pimpinan parti yang hanya ligat untuk berkempen dalam pemilihan parti, namun, tidak menyumbang ketika diperlukan dalam pilihan raya.
“Ada yang sangat berkira ketika membantu parti, tetapi menunjukan kemewahan yang luar biasa bila berkempen untuk diri sendiri.
“Buatlah PRU dulu dan kita tengok siapa yang paling banyak menyumbang kepada parti dan kita akan angkat setinggi-tingginya dalam pemilihan parti nanti,” kata Zahida ketika menyampaikan ucapan dasar pegerakan sayap itu di Pusat Dagangan Dunia sempena PAU2021 hari ini.
PERKEMBANGAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2021
Sehubungan itu, beliau berkata, pergerakan sayap Puteri di bawah pimpinannya ketika ini akan memberikan fokus berterusan terhadap persediaan dalam menghadapi PRU15.
Dalam masa sama, Zahida menegaskan, kestabilan dalaman parti UMNO adalah sangat penting sebelum melangkah dalam medan pertempuran pada PRU15 akan datang.
Puteri juga, jelasnya, akan menyokong sepenuhnya Akta Anti Lompat Parti yang dilihat menjadi punca kepada gejala rasuah politik yang lebih besar.
Tambahnya, gejala lompat parti hanya akan mencetuskan suasana tidak sihat selain melahirkan golongan ahli politik yang tidak kompeten dan lemah.
Tindakan tidak sihat itu juga, tegasnya, hanya akan membuka ruang kepada kepimpinan tidak berkemampuan untuk menguruskan negara.
#PAU 2021 #Puteri UMNO #pinda Perlembagaan UMNO #Zahida Zarikh Khan