PAU2022: 'Pengundi hantu? Mana boleh masuk tanpa kad akses' - Ahmad Zahid

Hasimi Muhamad
Januari 14, 2023 11:25 MYT
Ahmad Zahid berkata, mana-mana perwakilan yang akan memasuki dewan perlu melalui pemeriksaan termasuk memiliki kad akses yang membuktikan individu berkenaan didaftar secara sah. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: UMNO menolak dakwaan wujud pengundi hantu yang dibawa masuk untuk meluluskan usul agar dua jawatan tertinggi dalam parti tidak dipertandingkan.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, mana-mana perwakilan yang akan memasuki dewan perlu melalui pemeriksaan termasuk memiliki kad akses yang membuktikan individu berkenaan didaftar secara sah.
Justeru, beliau menyerahkan kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk menyiasat dakwaan yang dibuat oleh bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
"Mana boleh masuk kalau tak ada kad ini (tunjuk kad perwakilan)," katanya dalam sidang media selepas ucapan penggulungan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022), pada Sabtu.
BACA SEMUA BERHUBUNG PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2022
Sementara itu, ditanya mengenai jika ada tindakan terhadap Khairy, katanya: "Itu satu perkara yang lain yang akan diperincikan oleh Lembaga Disiplin UMNO dan akan dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan," katanya.
Terdahulu, Khairy dalam satu rakaman video berkata, beliau difahamkan tag kedudukan perwakilan yang sebelum ini diletakkan di kerusi Dewan Merdeka telahpun ditanggalkan.
Keadaan itu, dakwa Khairy berkemungkinan besar bagi membawa masuk pengundi luar bagi meluluskan usul kelapan yang berlangsung pada petang ini.
PAU2022 meluluskan usul tambahan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak dipertandingkan pada Pemilihan UMNO akan datang.
Usul yang dibawa oleh Perwakilan dari Negeri Sembilan itu mendapat kelulusan melebihi 90 peratus perwakilan.
#PAU2022 #Pemilihan UMNO #jawatan presiden #Zahid Hamidi