BETONG: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menubuhkan jawatankuasa bagi mengusulkan permohonan menambah bilangan kawasan Parlimen di Sarawak.

Presidennya Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata permohonan berkenaan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan ia akan diusulkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab memuktamadkan perkara itu.

"Kita akan mengkaji dan bukan sahaja (Parlimen baharu di) Betong tetapi di seluruh negeri ini... kita mengambil kira pandangan (kepimpinan PBB) kawasan Betong untuk mewujudkan tiga kawasan Parlimen baharu," katanya dalam sidang media selepas Konvensyen Khas PBB Zon Betong di sini hari ini.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata permohonan berkenaan juga sejajar dengan laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang secara jelas menyatakan kepentingan suara Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Naib Presiden PBB Datuk Julaihi Narawi menyerahkan sembilan usul ahli parti itu dari zon Betong yang antaranya menyentuh agar bilangan kawasan Parlimen di Sarawak ditambah bagi mengimbangi serta membolehkan Sarawak dan Sabah mempunyai satu pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat.

Usul berkenaan turut mencadangkan supaya negeri itu mempertimbangkan sekurang-kurangnya 12 kawasan Parlimen baharu.

Pada masa ini, daripada keseluruhan 222 kerusi Dewan Rakyat di seluruh negara, sebanyak 166 kerusi atau 75 peratus di Semenanjung, manakala baki 25 peratus atau 56 kerusi di negeri Borneo, dengan masing-masing 25 kerusi di Sabah dan 31 di Sarawak.

-- BERNAMA