KUCHING: Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang mana menyaksikan kedua-dua parti itu bekerjasama pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agung PBK, Priscilla Lau berkata, kerjasama itu juga melibatkan pembahagian kerusi bagi kedua-dua parti.

“Pertandingan beberapa penjuru hanya akan merugikan parti bertanding terutama apabila bertembung semasa sendiri termasuk memecah undi.

“Kami (PBK) dan PSB merupakan parti tempatan sepenuhnya tanpa terikat atau bekerjasama dengan mana-mana parti di Semenanjung,” katanya.

Suara rakyat yang kuat dari Sarawak katanya amat penting untuk didengari di peringkat Parlimen.

Malah dengan cara itu, tegasnya hanya parti tempatan sahaja dapat menyuarakan isu berbangkit di pentas Persekutuan tanpa rasa takut.

“Dengan PRU15 yang semakin hampir, ayuh rakyat Sarawak bersama kami (PBK dan PSB) untuk menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

“Malah dengan kemenangan itu kelak akan menjadi titik permulaan bagi pemulihan Sarawak khususnya dalam mendapatkan hak-hak yang terhakis,” katanya.

MoU itu ditandatangani oleh Presiden PBK, Voon Lee Shan dan Presiden PSB, Datuk Seri Wong Soon Koh selain turut dihadiri Timbalan Presiden PSB, Dr Johnical Rayong Ngipa dan Setiausaha Agung PSB, Baru Bian.