ALOR GAJAH: Parti Bangsa Malaysia (PBM) mengesahkan belum menghantar sebarang permohonan rasmi untuk menyertai Barisan Nasional (BN) sebagai parti komponen gabungan itu.

Bakal Presiden PBM, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, perkara itu sedang dibincang dan akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi parti dalam masa terdekat.

Katanya, ini adalah kerana, status kerajaan Persekutuan ketika ini yang terdiri daripada gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN) juga perlu diambil kira.

“Dalam masa terdekat kepimpimpinan tertinggi akan memuktamadkan kita punya kedudukan terhadap kemasukan ke BN.

“Kerana kita lihat bahawa dalam kerajaan sekarang adalah kerajaan BN dan PN, saya tahu PN selalu bergaduh dengan BN, itu kerajaan sekarang. Memang dahulu saya (juga) ada tawarkan kepada PN untuk saya bersama mereka.

“Saya nak membantu memperkukuhkan mereka dengan sebuah parti pelbagai kaum, parti yang dipimpin oleh seorang wanita yang mana kepimpinan wanita dalam negara ini lompong, dan juga (PBM) ini sebuah parti yang berakar umbikan akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Ladang Koko Ting Agro Enterprise (TAE), Kampung Panchor di sini, hari ini.

Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng terdahulu dilaporkan berkata, PBM adalah parti yang menyokong kerajaan Keluarga Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini turut memaklumkan belum menerima permohonan rasmi daripada PBM, bagaimanapun terbuka untuk menerima kemasukan parti berkenaan bagi menyertai gabungan itu.