PBM bincang kedudukan Paul Yong pada Jumaat

Bernama
Julai 27, 2022 11:58 MYT
Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Paul Yong selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya pada 7 Julai, 2019. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan memperhalusi kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong, susulan sabitan salah merogol pembantu rumah warga Indonesia, tiga tahun lalu.
Ketua Penerangan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Zakaria Abdul Hamid, berkata kedudukan Paul Yong sebagai Bendahari Agung akan dibincangkan dalam mesyuarat bulanan Majlis Tertinggi (MT) parti berkenaan, Jumaat ini.
Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dan dua sebatan terhadap Paul Yong selepas didapati bersalah atas pertuduhan merogol pembantu rumahnya pada 7 Julai, 2019.
"Sebagai sebuah parti politik yang mendukung kedaulatan undang-undang, kami amat menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Tinggi Ipoh berhubung kes YB Paul Yong.
"Kami amat yakin kepada sistem kehakiman negara dan percaya proses perundangan yang dilalui oleh beliau akan berlaku secara saksama dan adil," katanya dalam kenyataan hari ini.
BACA: Bersalah rogol pembantu rumah, Paul Yong dihukum penjara 13 tahun, dua sebatan
Paul Yong memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atas tiket DAP dan dilantik sebagai anggota exco negeri di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Sebelum ini, beliau keluar parti DAP dan menjadi wakil rakyat Bebas sebelum menyertai Bersatu pada Disember 2020 sebagai ahli bersekutu dan pada Januari lepas, beliau menyertai PBM dan dilantik sebagai Bendahari Agungnya.
-- BERNAMA
#Paul Yong #rogol #PBM #ADUN Tronoh