JOHOR BAHRU: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan tetap membawa imej Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu juga dilihat apabila figura bekas Perdana Menteri itu masih mempunyai sokongan kuat selain berupaya menambah keyakinan rakyat bagi memilih parti itu.

“Tun Mahathir tidak bertanding di sini, tetapi saya kira Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan pemimpin parti gambarnya boleh disekalikan dalam poster ketika berkempen.

“Saya juga lihat Tun Mahathir masih disayangi rakyat Johor. Oleh sebab itu, saya rasa tidak salah jika imej beliau dipaparkan dalam poster untuk meyakinkan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera Pejuang PRN Johor di Taman Universiti di sini, pada Khamis.

Mengulas mengenai pemilihan poster boy untuk PRN Johor, Mukhriz berkata, perbincangan awal parti adalah mahu menampilkan wajah daripada kalangan calon tempatan.

“Poster boy ini sebenarnya rakyat Johor yang perlu diangkat kerana rakyat sangat harapkan terbaik bagi negeri mereka dan boleh mendapat jaminan masa depan.

“Kita di Pejuang juga berjanji untuk menampilkan calon-calon yang berkualiti dan berwibawa untuk dipilih pada PRN kali ini,” katanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.