Pelantikan Fizwan Rashidi sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Johor Datuk Osman Sapian diharap tidak dijadikan isu memandangkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira beberapa perkara.

Osman berkata pelantikan bekas Yang Dipertua Majlis Daerah Kota Tinggi itu dibuat selepas beliau berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani dan beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.

Beliau berkata Fizwan yang juga merupakan seorang penjawat awam kerajaan negeri Johor memiliki pengalaman luas sebagai Setiausaha Sulit kepada beberapa Menteri Besar Johor sebelum ini.

"Beliau bukan di bawah lantikan politik dan sebagai penjawat awam kerajaan negeri Johor, dia biasanya tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti kerana dia terikat dengan perjawatan.

"Jadi, kalau orang kata dia orang UMNO atau itu..ini, saya tidak boleh nak halang. Tapi bagi saya, keputusan ini bukan saya 100 peratus yang lantik. Ini pun saya minta sebab saya nak mulakan kerja dengan cepat," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Osman berkata dengan mengambil orang baharu tiada pengalaman akan menyusahkan memandangkan kerajaan Johor merupakan kerajaan baharu yang perlu melaksanakan banyak kerja mustahak dengan seberapa segera.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan kononnya Fizwan mempunyai hubungan rapat dengan Barisan Nasional (BN) dan dipercayai anggota UMNO sehinggakan pelantikannya kurang disenangi segelintir pihak.

Dalam perkembangan lain, Osman berkata pihaknya akan memastikan manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk memberi 10 meter padu air percuma (kediaman) kepada golongan B40 akan dilaksanakan secepat mungkin.

Katanya, beliau telah berbincang dengan exco bertanggungjawab dengan utiliti iaitu Jimmy Puah untuk mengemukakan kertas kerja bagi menentukan formula pelaksanaannya.

"Selepas itu kita akan berbincang dengan pegawai kewangan negeri sebab ini melibatkan peruntukan RM36 juta setahun," katanya.

Mengenai janji PH untuk memberi lesen peniaga-peniaga kecil secara percuma, Osman berkata pihaknya akan melihat kaedah terbaik contohnya memberi subsidi tambahan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menjayakannya.

"Kita tengok kewangan setiap PBT. Ada PBT yang tiada duit, ada PBT kaya. Jadi, kalau kita hendak mansuh (lesen) macamana caranya? Adakah kerajaan negeri akan beri subsidi tambahan dan sebagainya serta berapakah jumlahnya, ini akan kita lihat," katanya.

-- BERNAMA