POLITIK

Pelantikan Tengku Zafrul sebagai menteri berdasarkan merit, bukan politik - Penganalisis

Asyraf Malik 31/05/2025 | 11:00 MYT
Banyak pihak mempertikaikan kedudukan Tengku Zafrul sebagai menteri Kabinet apabila beliau meletak jawatan daripada UMNO. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Kerajaan MADANI bukan disebabkan latar belakang politik, sebaliknya kerana mempunyai rekod cemerlang dalam tugasnya.


Ringkasan AI
  • Tengku Zafrul dilantik sebagai Menteri MITI bukan kerana latar belakang politik, tetapi berdasarkan rekod cemerlang sebagai teknokrat dan pengalaman mengurus portfolio penting di bawah dua Perdana Menteri sebelum ini, termasuk semasa krisis COVID-19.
  • Penganalisis politik Prof Madya Hamdan Mohd Salleh menyatakan bahawa reputasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim di peringkat antarabangsa turut membantu menaikkan profil Tengku Zafrul dalam arena global, terutama dalam isu ekonomi melibatkan kuasa besar dunia.
  • Dari sudut politik, Tengku Zafrul dikatakan kurang selesa dengan suasana dalaman UMNO sejak 2024, dan situasinya disamakan dengan cabaran yang pernah dihadapi oleh Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim dalam proses asimilasi politik sebagai teknokrat dalam PKR.


Penganalisis Politik dan Timbalan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Madya Hamdan Mohd Salleh, berkata Datuk Seri Anwar Ibrahim menilai rangkuman pengalaman beliau sebagai menteri sebelum ini.

"Beliau (ketika ini) telah memegang portfolio kritikal di bawah tiga Perdana Menteri berbeza. Tengku Zafrul adalah seorang teknokrat iaitu berpengalaman bidang perbankan serta dalam masa sama mempunyai kuasa politik.

"Beliau pernah menjadi Menteri Kewangan sewaktu Malaysia diisytihar darurat akibat pandemik COVID-19... satu pencapaian cemerlang apabila Tengku Zafrul mengemudi negara untuk memulihkan ekonomi (ketika itu).

"(Ketika) ini ditambah pula reputasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dekat dengan kebanyakan pemimpin dunia, memudahkan menteri di bawahnya untuk lebih menonjol di pentas antarabangsa," kata Hamdan ketika temu bual bersama Astro AWANI di sini, hari ini.

Beliau berkata, Tengku Zafrul semakin menyinar apabila turut diberi kepercayaan untuk berada di barisan hadapan bagi menongkah ketidaktentuan ekonomi melibatkan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat dan China.

Namun, dari segi politik, Hamdan berpendapat, Tengku Zafrul berasa kurang selesa dengan suasana dalaman UMNO sejak tahun 2024.

"Situasi sama pernah berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini. Jika kita lihat pada mantan Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga seorang teknokrat.

"Beliau tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) 2007 di Ijok, Selangor, kemudian berkembang menjadi ahli politik... menang semula dan akhirnya diangkat menjadi Menteri Besar yang membuka sejarah baharu politik Selangor.

"Demikian cabaran Tan Sri Abdul Khalid untuk asimilasi politik tulen, sebab itu berlaku Langkah Kajang dan sebagainya... keadaan serupa dihadapi Tengku Zafrul sekarang," jelas Hamdan.

Langkah Kajang ialah satu strategi politik yang dikatakan dilakukan oleh PKR pada 2014, bertujuan untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar, dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui satu pilihan raya kecil di kawasan DUN Kajang.

Mengulas lanjut, Hamdan berkata, kedua-dua PKR dan UMNO perlu bijak menangani isu persepsi dalam percaturan politik ini kerana rakyat semakin tajam menilai.



#Tengku Zafrul #UMNO #PKR #percaturan politik