Peletakan jawatan Dr Akmal tak jejas akar umbi UMNO - Asyraf Wajdi

Dr Asyraf Wajdi berkata, fokus utama ketika ini adalah memastikan Dr Muhamad Akmal terus mengekalkan jawatannya dalam parti. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meletak jawatan Exco Kerajaan Negeri Melaka, tidak memberi kesan kepada UMNO.
Ringkasan AI
- Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh meletakkan jawatan Exco Kerajaan Negeri Melaka tanpa kesan terhadap UMNO, menurut Setiausaha Agung parti itu, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
- Fokus utama UMNO kini ialah memastikan Dr Muhamad Akmal kekal sebagai Ketua Pergerakan Pemuda untuk mengekalkan keseimbangan parti.
- Sebarang isu besar di peringkat akar umbi dikatakan tidak dijangkakan selagi Dr Muhamad Akmal memegang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, menurut kenyataan Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
"Yang paling penting, dia harus kekal sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO kerana itu jawatan yang dipilih... dan dia membawa suara sayap parti,” katanya pada sidang media di ibu negara, pada Sabtu.
Menurut beliau, selagi Dr Muhammad Akmal terus memegang jawatan tersebut, UMNO tidak menjangkakan sebarang isu besar timbul di peringkat akar umbi.
“Selagi mana dia masih Ketua Pergerakan Pemuda, saya kira tidak akan ada isu besar di akar umbi. Yang penting, kita tidak mahu parti itu berselerak,” katanya.
Mengulas sama ada sebarang panggilan diterima daripada DAP susulan tindakan Dr Muhamad Akmal meletakkan jawatan Exco, Asyraf Wajdi berkata perkara itu wajar dirujuk kepada beliau sendiri.
“Itu kena tanya beliau. Pemuda biasalah, saya dulu pun Ketua Pemuda juga. Pemuda ada peranannya tersendiri,” katanya.
Beliau menegaskan, meskipun suara Pemuda penting, sebarang keputusan dasar parti tetap diputuskan melalui saluran rasmi.
“Akhirnya, keputusan dasar dan hala tuju parti ini ditentukan oleh Majlis Kerja Tertinggi dan Perhimpunan Agung UMNO. Akmal sendiri menyebut dia tidak pernah melanggar keputusan dan pendirian parti,” katanya.
Memetik laporan media, Dr Muhammad Akmal dijangka menyerahkan surat peletakan jawatan pada Isnin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


