POLITIK
Peletakan jawatan: Saya masih belum jumpa, Zuraida masih bercuti - PM
Zuraida pada Khamis lepas berkata beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat bagi membincangkan kedudukannya dalam Kabinet.
KUALA LUMPUR: Hampir dua minggu selepas mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin masih belum bertemu dengan Perdana Menteri.
Perkara itu disahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberitahu Zuraida masih bercuti ketika pulang dari lawatan kerjanya di Turki dan Greece.
“(Datuk Seri sudah jumpa Zuraida?)
“Belum lagi, Zuraida cuti lagi. Tarikh nanti saya akan tetap,” katanya ringkas kepada media ketika ditemui selepas menghadiri Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu, di sini pada Ahad.
Zuraida pada Khamis lepas berkata beliau akan bertemu dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat bagi membincangkan kedudukannya dalam Kabinet.
Zuraida berkata beliau akan membuat satu sidang akhbar minggu depan selepas isu kedudukannya dalam Kabinet selesai.
Beliau mengumumkan keputusannya meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi pada 26 Mei lepas.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan beliau, Zuraida turut mengumumkan keputusannya meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM)
Bagaimanapun, beliau tetap menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.