KIRA-KIRA 42 tahun yang lalu, iaitu tanggal 14 Januari 1976, negara dikejutkan dengan kehilangan Perdana Menteri edua, Tun Abdul Razak Hussein.

Kematian mengejut Tun Abdul Razak menyebabkan kerusi parlimen Pekan kosong dan pilihan raya kecil perlu diadakan untuk mengisi kekosongan itu. UMNO perlu mencari pengganti untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan tokoh terbilang itu dan tentunya calon yang perlu dipilih bukan calang-calang nama.

Sebagai pengganti, UMNO menamakan seorang anak muda yang baru berusia 23 tahun untuk menjadi calon Pilihan Raya Kecil Pekan. Mohd Najib Abdul Razak, anak sulung bekas perdana menteri kedua dipilih untuk meneruskan legasi bapanya. Beliau menang tanpa bertanding kerusi Parlimen Pekan.

Pada usia 23 tahun, Mohd Najib yang kini kita semua kenal sebagai Datuk Seri Najib menjadi ahli parlimen termuda pernah dipilih. Beliau juga dilantik sebagai Timbalan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos pada 1978 ketika usia 25 tahun. Empat tahun kemudian, beliau sekali lagi mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Menteri Besar Pahang ketika berusia 29 tahun.

Kini Najib merupakan perdana menteri Malaysia yang keenam. Beliau diberikan peluang ketika usianya masih muda kerana pemimpin ketika itu percaya anak muda perlu diberi ruang dan peluang. Begitu juga dengan Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang diberi perluang bertanding ketika usianya 29 tahun.

Kerana peluang yang diberikan oleh pemimpin yang lebih awal, Najib dan Shahrir bertapak dalam dunia politik sehingga berada pada kedudukan sekarang. Ramai lagi pemimpin yang ada sekarang, mula menjadi wakil rakyat ketika usia awal 30-an atau 40-an kerana pemimpin sebelumnya memberi ruang dan peluang.

Pemimpin muda adalah pelapis kepada perjuangan, aspirasi dan idealogi parti. Sesebuah parti akan menjadi lebih diterima masyarakat jika lahir pemimpin yang sejiwa dengan perubahan landskap politik.

Penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata jika pemimpin muda tidak diberi peluang sekarang, mereka akan menjadi semakin tidak relevan. Peluang untuk anak muda perlu diberikan bukan akan datang, tetapi sekarang.

"Pemimpin sedia ada sukar memberi peluang kepada pemimpin muda kerana merasa tergugat dan melihat persaingan yang menyebabkan hilang jawatan dan kedudukan.

"Transisi kepada pemimpin muda boleh dilakukan secara tersusun agar tidak timbul percakaran dalaman," katanya kepada Astro AWANI.

Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan tidak lama lagi. Oleh itu, sewajarnya UMNO memberi peluang kepada beberapa calon muda bertanding khususnya di kerusi parlimen.

Beberapa nama dalam Pergerakan Pemuda UMNO seperti Senator Khairul Azwan Harun, Jamawi Jaafar, Razlan Rafi, Shahril Hamdan dan beberapa pemimpin dalam Pergerakan Puteri perlu dipertimbangkan untuk diketengahkan sebagai calon bertanding di kerusi parlimen.

Tokoh-tokoh muda inilah, kalau diberikan peluang akan menjadi benteng UMNO di Dewan Rakyat untuk menangkis serangan musuh. Mereka inilah juga yang akan membantu Najib dan Zahid khususnya UMNO untuk terus mendapat sokongan golongan muda.

Apalah guna program Tranformasi Nasional 2050 (TN50) jika jumlah ahli parlimen yang mewakili anak muda sangat sedikit. Tokoh-tokoh muda perlu diberikan peluang menjadi wakil rakyat sebagai kesinambungan TN50.