KUANTAN: Pembangkang di Pahang bersetuju agar Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dibentangkan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan pada Mei ini.

Ketua Pembangkang DUN Pahang Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga mencadangkan sesi taklimat dan perbincangan antara kedua-dua pihak dapat diadakan sebelum persidangan berlangsung, supaya mereka dapat meneliti RUU itu.

"Saya ingin tegaskan keperluan RUU ini dibentang dalam persidangan (DUN Pahang) akan datang walaupun setakat ini ada beberapa negeri yang masih belum membentangkannya.

"Saya bagi jaminan bahawa mana-mana RUU yang mendatangkan kebaikan kepada kestabilan politik, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri akan disokong sepenuhnya," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Tuan Ibrahim berkata mereka juga bersetuju dengan pandangan bahawa kerajaan negeri perlu selaras dengan keputusan kerajaan Persekutuan, iaitu dengan Akta Antilompat Parti telah berkuat kuasa pada 5 Okt lepas.

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim yang juga Ahli DUN Cheka mendakwa setakat ini, pihaknya belum menerima notis persidangan.

Pada Isnin, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada sidang media berkata kerajaan negeri sedia membentangkan RUU Anti Lompat Parti pada Persidangan DUN terdekat, jika mendapat sokongan dua pertiga wakil rakyat iaitu 28 kerusi.

Ia berikutan kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak mencukupi jumlah itu, menyebabkan mereka perlu mendapatkan sokongan pembangkang terlebih dahulu, bagi memastikan RUU itu diluluskan.

Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 ialah Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing memperoleh 17 kerusi manakala lapan kerusi lagi dimenangi Pakatan Harapan (PH).

-- BERNAMA