Skip to main content

Politik

Pembangkang sedia hadapi PRU lebih awal - Hamzah

https://www.sinarharian.com.my/article/776434/berita/politik/pembangkang-sedia-hadapi-pru-lebih-awal---hamzah
Hamzah (tengah) ketika hadir ke Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kawasan Larut di Dewan As Sakinah, Kampung Paya Batu Kurau, 19 April 2026. - Foto Sinar Harian

LARUT: Pembangkang tiada masalah berdepan kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) yang diawalkan kerana telah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi keadaan itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, sebarang keputusan pembubaran Parlimen oleh kerajaan akan disambut dengan kesiapsiagaan penuh jentera di semua peringkat.

Advertisement

“Kita bersedia pada bila-bila masa sekalipun. Bila mereka umumkan pembubaran, kita akan tunjukkan bahawa kita sudah sedia,” katanya ketika ditemui pemberita sempena Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kawasan Larut di Dewan As Sakinah, Kampung Paya Batu Kurau di sini semalam.

Hamzah berpandangan bahawa langkah mengadakan PRU lebih awal lazimnya dibuat oleh kerajaan yang merasakan kedudukan mereka kukuh.

Katanya, tindakan tersebut juga boleh dilihat sebagai strategi politik untuk menguji reaksi pembangkang sebelum keputusan muktamad dibuat.

“Kalau benar mereka mahu adakan pilihan raya awal, sudah tentu mereka merasakan mereka berada dalam keadaan kuat.

“Kerajaan tidak akan membubarkan Parlimen lebih awal jika mereka tidak yakin boleh menang,” ujarnya.

Mengulas pendekatan pembangkang, Ahli Parlimen Larut itu menegaskan pihaknya memilih untuk tidak terlalu reaktif terhadap spekulasi semasa, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha mendekati rakyat.

Tambahnya, pendekatan berhemah itu penting bagi memastikan keutamaan kekal kepada isu rakyat, bukan polemik politik selain menjadi petunjuk kepada sokongan semasa.

"Kalau di Larut ini sahaja, UMNO telah buat majlis Hari Raya.

"Kalau dibandingkan UMNO dengan parti-parti lain yang menganjurkan sambutan Hari Raya termasuk sambutan Hari Raya Pas bersama saya ini... saya rasa lebih besar sokongan yang diperolehi. Jadi itu saja sudah memberi jawapan kepada mereka," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai lebih 6,000 bekas ahli UMNO berhasrat menyertai semula parti tersebut, Hamzah menyifatkan perkara itu sebagai sesuatu yang baik.

Bagaimanapun beliau menegaskan jumlah pengundi sebenar jauh lebih besar dan menjadi penentu utama.

“Baguslah kalau begitu, tetapi jumlah pengundi jauh lebih ramai,” katanya. - Sinar Harian

 

Must Watch Video