Pemilihan Ismail Sabri sebagai calon PM teruskan kestabilan politik - Saravanan

Abd Razak Mohd Ali
April 15, 2022 13:39 MYT
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, MIC menyokong penuh pendirian UMNO yang menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15. - Gambar fail/BERNAMA
TAPAH: MIC percaya pemilihan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) atau 'poster boy' mampu terus meningkatkan kestabilan politik negara.
Ia sekali gus boleh membawa negara ke satu tahap yang lebih tinggi daripada yang dinikmati sekarang.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan berkata, MIC menyokong penuh pendirian UMNO yang menamakan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri pada PRU15.
"Hari ini kita lihat kepimpinan Ismail Sabri berjaya menyatukan semua pihak sehingga pembangkang mula menyokong pendirian ini kerana kejayaan negara kita bergantung kepada kestabilan politik.
"Hari ini kita lihat seorang pemimpin walaupun dicadangkan oleh UMNO sebagai PM tetapi diterima oleh semua lapisan masyarakat, walaupun ideologi politik berbeza tetapi saya lihat parti-parti lain terima beliau sebagai calon Perdana Menteri," katanya.
Menurutnya, ia satu pengumuman yang cukup baik dan MIC menerima dengan terbuka keputusan UMNO itu.
Beliau ditemui semasa majlis serahan zakat wakalah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTTK) di Dewan Merdeka Tapah pada Jumaat.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan zakat wakalah kepada 18 buah masjid dan 79 surau di dalam Parlimen Tapah.
Pada Khamis, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti, sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU15.
BACA: MKT UMNO cadang Ismail Sabri calon PM untuk PRU-15
Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
#M Saravanan #MIC #Perdana Menteri #PRU15 #poster boy #ismail sabri yaakob #politik negara