KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Wee Ka Siong akan dicabar bekas ahli Jawatankuasa Pusat MCA Tan Chong Seng bagi merebut jawatan presiden dalam pemilihan parti pada 24 Sept ini.

Menerusi kenyataan di Facebook rasmi beliau pada Isnin, Wee yang merupakan penyandang presiden MCA berkata ia menunjukkan proses demokrasi kekal subur dalam parti itu.

"Syukur, proses penamaan calon bagi Jawatankuasa Pusat MCA 2023 berjalan dengan lancar hari ini, menyaksikan gelanggang bagi merebut kesemua jawatan di peringkat pusat dan sayap Pemuda serta Wanita kini membuka tirai.

"Terima kasih atas kepercayaan kepada saya untuk mempertahankan jawatan Presiden MCA bagi pemilihan parti kali ini. Justeru, saya merayu kepada para perwakilan untuk memberikan mandat kepada saya agar saya dapat terus membangunkan parti dan melaksanakan pembaharuan sewajarnya," katanya.

Menurut Wee, seperti dalam manifesto, beliau akan memperkenal dan melaksanakan tiga pembaharuan besar untuk memulih serta membina semula parti.

"Saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan parti MCA menjadi lebih kuat dan dapat memberi perkhidmatan lebih baik kepada rakyat. Kepada para perwakilan, saya Wee Ka Siong, calon nombor 2 merayu undi daripada anda semua. Terima kasih," katanya.

MCA akan mengadakan pemilihan bagi peringkat pusat pada 24 Sept ini manakala pemilihan sayap Pemuda dan Wanita ditetapkan pada 23 Sept, seterusnya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 21 dan 22 Okt.

-- BERNAMA