Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan hari ini mengumumkan akan mempertahankan jawatan beliau dalam Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC pada pemilihan parti itu nanti.

Beliau yang juga Anggota CWC MIC memaklumkan akan bertanding bagi jawatan itu dalam pemilihan parti yang bakal diadakan bulan hadapan, mesikpun sebelum ini pernah mempertimbang untuk bertanding jawatan naib presiden.

"Saya telah mengumumkan keputusan saya untuk mempertahankan jawatan saya dalam CWC, walaupun pada awalnya saya mempertimbangkan untuk bertanding jawatan Naib Presiden MIC.

"Memandangkan ramai calon-calon yang pernah menawarkan diri sebelum ini, menawarkan diri kembali... dan melihatkan (keadaan) buat masa ini apa yang parti perlukan ialah kesinambungan dan saya boleh membantu Presiden parti untuk membantu dalam mengerakkan parti ini ke arah kecemerlangan," katanya pada sidang media di Bangunan MIC Kebangsaan, hari ini.

"Dengan menawarkan diri saya sebagai ahli CWC, ia akan memberi saya lebih peluang dan ruang untuk bergerak seluruh Malaysia bersama ahli-ahli parti di akar umbi, untuk memastikan kerja-kerja parti ini dapat difahami oleh ahli-ahli parti," katanya lagi.

Sebelum ini, anak kepada bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu iaitu, Datuk Seri S. Vell Paari menerusi satu kenyataan media telah mengumumkan beliau akan bertanding untuk jawatan Naib Presiden MIC pada pemilihan kali ini.

Turut bertanding untuk jawatan yang sama adalah bekas Pemuda MIC Kebangsaan, Datuk T. Mohan.

Pencalonan untuk kesemua 23 jawatan dalam CWC, Timbalan Presiden dan tiga naib presiden dijadualkan berlangsung pada 25 Oktober ini.