Pemilihan PKR 2022: Iltizam Hans Isaac, Altimet sertai politik

Hasimi Muhamad
Mei 21, 2022 07:53 MYT
Hans Isaac (kiri) dan Altimet bakal bersaing bagi merebut kerusi Ketua Cabang Ampang pada Pemilihan PKR 2022 - Foto Astro AWANI
AMPANG: "Maaf, saya bukan ahli politik...," demikian tegas pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Hans Isaac yang bertanding merebut jawatan Ketua Cabang Ampang bagi Pemilihan PKR 2022.
Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 51, berkata dia hanya seorang akar umbi PKR yang suka bekerja dan tidak berminat untuk bermain politik sama sekali.
Bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) itu menambah, sejak tiga tahun lalu dia telah melaksanakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan menyantuni masyarakat di Ampang tanpa bantuan mana-mana pihak.
"Mengutamakan rakyat itu semua ahli politik dah cakap, hampir 100 peratus (mengatakan perkara itu). Bila nak undi berjanji, tapi bila dapat undi lain cerita.
"Saya tak suka berjanji, kalau saya cakap saya akan buat. Kedua, saya nak tukar cara berpolitik di Malaysia, di mana asyik nak menjatuh antara satu sama lain.
"Sudah tentu kita ada wawasan, saya ada isu KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang saya nak (perjuang) untuk freelance (pekerja bebas) dan kakitangan kontrak. Saya ada banyak benda dalam kepala saya kalau dapat peluang itu (sebagai Ketua Cabang). Tetapi pendek kata, kita kena menghormati antara satu sama lain dalam arena politik.
"Kita nampak rakyat dah tak yakin dengan ahli-ahli politik, dan kami nak gelombang baru daripada ahli-ahli politik tak kira daripada parti mana. Tidak masuk dalam Parlimen dan cuba memperkecilkan atau menjatuhkan antara satu sama lain," katanya kepada Astro AWANI ketika hadir meninjau proses Pemilihan PKR cabang Ampang di Dewan Dato Ahmad Razali, di sini pada Sabtu.
Hans akan berdepan enam lagi pencabar bagi jawatan Ketua Cabang Ampang termasuk seorang lagi selebriti, yang juga penyanyi rap, Altimet.
Turut memberi saingan dalam pertembungan itu ialah Abdullah Md Zain; Sam Hoo Wai; Abdul Halim Mohamed Yusof; Daing Muhammad Reduan Bachok; serta Abdul Latif Shaari.
Mengulas lanjut, Hans yang menyertai PKR pada 2020 berpandangan penyertaan selebriti termasuk Altimet dan Datuk Afdlin Shauki dalam saingan Pemilihan PKR 2022 adalah hak masing-masing.
Pelakon filem Baik Punya Cilok itu juga mengakui terkejut dengan pencalonan Altimet bagi kerusi sama, namun dia terbuka menerima saingan daripada pelantun lagu Amboi itu dan menyerahkan kepada akal umbi untuk membuat keputusan.
Mengenai perancangan masa depan dalam arena politik termasuk pencalonan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pula, Hans berkata dia belum bersedia membincangkan mengenai perkara itu lagi.
Namun, dia terbuka dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti jika diberikan kepercayaan kelak.
Altimet fokus isu kekeluargaan, wanita, belia
Sementara itu, Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman, 43, berkata dia akan memberi fokus kepada isu belia, kekeluargaan, dan wanita jika diberikan kepercayaan untuk berkhidmat di Ampang sebagai Ketua Cabang.
Dia juga melihat saingan Pemilihan PKR 2022 di cabang Ampang sebagai menyuburkan sistem demokrasi di kawasan tersebut, selain satu persaingan yang sihat.
"Saya rasa ia satu benda yang bagus sebab selebriti ini banyak benda yang dia buat akan membawa perhatian.
"Tetapi kali ini bawa perhatian bukan kepada kontroversi tetapi kepada demokrasi. Jadi mungkin pengikut-pengikut yang lebih muda, dia akan lebih peka terhadap sistem demokrasi dan proses-prosesnya," katanya.
Ditanya mengenai pembaharuan yang bakal dibawa di Ampang berbanding penyandang sebelum ini, Datuk Zuraida Kamaruddin, Altimet berkata banyak perkara yang boleh ditambah baik di kawasan berkenaan termasuk dari segi pendidikan.
"Tak dapat dinafikan Datuk Zuraida ini, saya pun dulu mengundi untuk dia, dan banyak benda bagus yang dia buat untuk Ampang.
"Jadi kita nak cuba kekalkan dan tambah baik benda-benda yang baik itu, dan sambil itu kita tambah benda-benda yang baharu," tambahnya.
Zuraida menang tanpa bertanding jawatan Ketua Cabang Ampang pada Pemilihan PKR 2018.
Bagaimanapun, beliau meninggalkan PKR pada 2020 dan bertindak menyertai Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).
Pemilihan PKR 2022 berlangsung sejak 13 Mei lalu dan akan berakhir pada 22 Mei (esok) melibatkan Perak, Sabah dan Sarawak.
Sementara untuk pemilihan secara dalam talian, ia diadakan pada17 Mei bagi pengundi luar negara dan 18 hingga 20 Mei bagi ahli yang memilih untuk berbuat demikian.
#Hans Isaac #Altimet #Pemilihan PKR 2022 #Politik Malaysia