KUALA LUMPUR: Keputusan tidak rasmi pemilihan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyaksikan Mohd Rafizi Ramli jauh meninggalkan pesaingnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Setakat pukul 8.30 malam, semakan di laman sesawang keputusan pemilihan PKR 2022 di 13 negeri melibatkan 190 cabang menyaksikan Mohd Rafizi memperolehi 64,423 undi.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru pula di belakang dengan mendapat 47,140 undi, ketinggalan 17,283 undi.

Mohd Rafizi juga mengekalkan kedudukan sebagai ketua cabang PKR Pandan dengan memperolehi 548 undi mengalahkan Mohamad Rashidi Hassan (373) dan Adnan Jaaffar (121).

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menang merebut jawatan ketua cabang PKR Gombak mengalahkan pencabarnya Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Amirudin memperolehi 1,858 undi manakala Farhash mendapat 1,215 selepas selesai pemilihan dan keputusannya dipaparkan di laman wab pemilihan PKR.

Dua selebriti yang mencuba nasib di Ampang, Datuk Gerald Hans Isaac dan Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad atau lebih dikenali sebagai Altimet tewas dalam usaha mereka merebut jawatan ketua cabang.

Kedua-duanya tewas kepada Daing Muhammd Reduan Bachok yang mendapat undi 942, manakala Hans dan Altimet masing-masing memperolehi 609 dan 589 undi.

Sementara dua ahli parlimen PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Datuk Johari Abdul tewas dalam usaha mereka merebut jawatan ketua cabang.

Shamsul yang mendapat 379 undi tewas kepada Mohd Rafee Ibrahim yang memperolehi 488 undi di cabang Hang Tuah Jaya, manakala Johari gagal merebut jawatan ketua cabang Sungai Petani selepas mendapat 464 undi berbanding pencabarnya, Ooi Tse Min yang mendapat 567 undi.

Di cabang Alor Gajah, Datuk Ginie Lim yang sebelum ini digugurkan dari bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Melaka, berjaya menewaskan pesaingnya Ahmad Abdul Wahid untuk jawatan ketua cabang.

Ginie memperolehi 594 undi manakala Ahmad 445 undi.

Di cabang Damansara, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan Elizabeth Wong menang jawatan ketua cabang dengan memperolehi 1,089 undi menewaskan Ahmad Nekhan yang mendapat 505 undi.