[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
POLITICS

Pemilihan PKR 2025: AMK umum sokong Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden

Seth Akmal 07/05/2025 | 01:45 MYT
Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengumumkan sokongan kepada Nurul Izzah yang pernah menerima digelar Puteri Reformasi itu selaku calon Timbalan Presiden bagi pemilihan di peringkat Pusat.
KUALA LUMPUR: Sokongan terhadap Nurul Izzah Anwar bagi bertanding merebut kerusi Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus meningkat dengan terbaharu Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyatakan sokongan secara terbuka.
Ketuanya, Adam Adli Abdul Halim berkata, AMK memberikan sokongan kepada Nurul Izzah yang pernah menerima digelar Puteri Reformasi itu selaku calon Timbalan Presiden bagi pemilihan di peringkat Pusat.
Adam Adli yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, sokongan terhadap Nurul Izzah bukan kerana soal individu, sebaliknya, tetapi langkah strategik untuk memperkukuhkan barisan kepimpinan masa hadapan parti.
“Selepas membuat sebaik-baik penilaian, tanpa hilang rasa hormat kepada mana-mana pimpinan parti, saya dengan ini ikut menyokong pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden.
“Dalam suasana politik yang semakin kompleks, Nurul Izzah jadi sosok yang bukan sahaja berwibawa dan berprinsip, tetapi juga mampu meniupkan semangat reformasi ke generasi baharu, melintasi pelbagai latar yang ada,” kata Adam Adli dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Tambah beliau lagi, pencalonan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dapat merapatkan jurang dalam parti dari segi generasi dan gender.
“Keadilan sudah melahirkan pelbagai lapis generasi dan latar sejak awal penubuhannya, kepelbagaian ini turut mencipta banyak jurang, lantas menuntut kita untuk mengangkat pemimpin yang paling berkesan dalam merapatkan jurang-jurang ini; samada jurang generasi, mahupun jurang gender,” jelas beliau lagi.
Pada Selasa, beberapa pemimpin kanan parti telah menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah yang juga anak sulung kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan berkenaan.
Antaranya ialah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan beberapa ketua cabang PKR.
Ketika ini, jawatan Timbalan Presiden PKR disandang oleh Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Minggu lalu namun, beberapa pemimpin dari kem Rafizi dilaporkan tewas semasa pemilihan peringkat cabang minggu lalu.
PKR mengumumkan proses pencalonan dan pemilihan pucuk pimpinan pusat parti akan diadakan pada 8 dan 9 Mei.
Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat dan Perasmian Kongres Nasional PKR 2024/2025 pula akan diadakan pada 23 Mei (Jumaat) manakala Kongres Nasional PKR 2024/2025 pada 24 Mei (Sabtu).
#Adam Adli Abdul Halim #Nurul Izzah #PKR #timbalan presiden