[TERKINI] Syed Saddiq Dilepas dan Dibebaskan | Mahkamah Rayuan Ketepikan Sabitan Kes Dana Armada – Klik untuk Laporan Penuh
POLITICS

Pemilihan PKR 2025: Rafizi sedia pertahan jawatan Timbalan Presiden

Seth Akmal 07/05/2025 | 06:26 MYT
Menurut Rafizi, seandainya jawatan selaku pemimpin nombor dua dalam PKR dapat dikekalkan maka peranan beliau dalam parti dan kerajaan dapat diteruskan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan bersedia mempertahankan jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan kali ini.

Ringkasan AI
  • Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan kesediaannya untuk mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan kali ini dan mengalu-alukan calon lain untuk turut bertanding demi memperkuatkan parti.
  • Rafizi mengambil sikap positif terhadap khabar angin bahawa Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Nurul Izzah Anwar mungkin akan bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden, menyatakan bahawa hak untuk bertanding adalah hak masing-masing dalam semangat demokrasi.
  • PKR mengumumkan proses pencalonan dan pemilihan pucuk pimpinan pusat parti akan diadakan pada 8 dan 9 Mei, dengan pengundian dan perasmian Kongres Nasional PKR 2024/2025 pada 23 Mei dan Kongres Nasional pada 24 Mei.

Rafizi yang juga Menteri Ekonomi dalam kenyataannya berkata, mengalu-alukan calon lain untuk turut bertanding jawatan itu dalam pemilihan kali ini demi memperkuatkan parti.
“Saya mengalu-alukan pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan kali ini dan akan turut serta calon-calon lain menggunakan pentas pemilihan kali ini untuk memperkuatkan parti,” katanya.
Ahli Parlimen Pandan itu juga mengambil sikap positif di atas khabar angin bahawa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar akan bertanding untuk mengisi jawatannya itu.
“Saya menerima baik berita-berita bahawa Saifuddin dan Nurul Izzah menunjukkan minat untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden.
“Dari awal lagi, saya menyatakan bahawa hak untuk bertanding itu adalah hak masing-masing dan wajar kita raikan dalam semangat demokrasi,” katanya lagi.
Menurut Rafizi, seandainya jawatan selaku pemimpin nombor dua dalam PKR dapat dikekalkan maka peranan beliau dalam parti dan kerajaan dapat diteruskan.
Tambah beliau lagi seandainya tidak dipilih, beliau tekad untuk kembali sebagai pemimpin akar umbi yang akan terus lincah berkempen di bawah.
Media melaporkan Nurul Izzah belum membuat keputusan untuk bertanding jawatan itu sebaliknya memberi jaminan akan membuat 'keputusan terbaik' mengenai perkara itu.
Saifuddin pula belum mengeluarkan sebarang kenyataan namun beberapa ahli akar parti menyarankan agar beliau bertanding jawatan tersebut.
PKR mengumumkan proses pencalonan dan pemilihan pucuk pimpinan pusat parti akan diadakan pada 8 dan 9 Mei.
Pengundian Pemilihan Peringkat Pusat dan Perasmian Kongres Nasional PKR 2024/2025 pula akan diadakan pada 23 Mei (Jumaat) manakala Kongres Nasional PKR 2024/2025 pada 24 Mei (Sabtu).
#Rafizi Ramli #Nurul Izzah Anwar #PKR #pemilihan PKR