POLITICS

Pemilihan PKR: Amirudin menang tanpa bertanding

Sinar Harian 13/04/2025 | 07:29 MYT
Amirudin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, telah menerajui Cabang Gombak sejak 2022 dan terus dilihat sebagai tokoh utama dalam landskap politik Selangor.
SHAH ALAM: Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, mengekalkan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Gombak bagi penggal 2025–2028 selepas diumumkan menang tanpa bertanding dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025.
Amirudin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, telah menerajui Cabang Gombak sejak 2022 dan terus dilihat sebagai tokoh utama dalam landskap politik Selangor.
Menurut rekod rasmi, daripada sejumlah 2965 ahli yang layak mengundi di Cabang Keadilan Gombak, jumlah kertas undi yang dikeluarkan adalah kosong, mengesahkan kemenangan tanpa bertanding Amirudin.
Kemenangan Amirudin di Cabang Keadilan Gombak menjadi satu perkembangan penting dalam dinamika politik parti menjelang pemilihan di peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, keputusan pemilihan Ketua Cabang Keadilan Klang bagi penggal 2025–2028 menyaksikan Azmizam Zaman Huri meraih kemenangan dengan majoriti yang selesa.
Berdasarkan data rasmi, daripada 2,987 ahli yang layak mengundi di Cabang Klang, sebanyak 2,329 kertas undi telah dikeluarkan.
Azmizam yang juga ADUN Pelabuhan Klang memperolehi 1,774 undi, mengatasi pencabarnya, Yew Boon Lye yang meraih 553 undi.
Kemenangan tersebut jelas menunjukkan sokongan yang kuat daripada ahli-ahli Cabang Keadilan Klang terhadap kepimpinan dan visi Azmizam untuk parti di peringkat cabang.
Sementara itu, keputusan pemilihan Ketua Cabang Keadilan Kota Raja bagi penggal 2025–2028 pula menyaksikan ADUN Sentosa, Dr Gunaraj George muncul sebagai pemenang dengan majoriti yang signifikan.
Berdasarkan data rasmi yang dikeluarkan, daripada 7,977 ahli yang layak mengundi di Cabang Kota Raja, sebanyak 6,308 kertas undi telah dikeluarkan.
Keputusan akhir menunjukkan Dr Gunaraj memperoleh 4,643 undi, jauh meninggalkan pencabarnya, Mahendran Marimuthu yang meraih 1,615 undi.
Kemenangan besar itu menandakan kepercayaan dan sokongan yang kuat daripada ahli-ahli Cabang Keadilan Kota Raja terhadap kepimpinan Dr Gunaraj, sekali gus mencerminkan aspirasi akar umbi terhadap hala tuju parti di peringkat cabang.
Sementara di Cabang Keadilan Petaling Jaya, bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor juga merupakan bekas ADUN Kajang, Hee Loy Sian menang tipis dengan meraih 2,900 undi, mengatasi pencabarnya, Lee Chean Chung yang memperolehi 2,684 undi.
Kemenangan dengan majoriti tipis itu menggambarkan dinamika persaingan yang sihat dalam parti di peringkat cabang.
Loy Sian yang juga seorang aktivis masyarakat berpengalaman dan telah lama berkhidmat dalam parti, kini diberi mandat untuk menerajui Cabang Petaling Jaya. - Sinar Harian
#pemilihan PKR #Amirudin Shari #Cabang Gombak #keputusan