POLITICS
Pemilihan PKR: Fahmi nafi wujud nepotisme apabila nama Nurul Izzah dicadang
Menurut Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil, gelaran Puteri Reformasi dinobatkan kepada Nurul Izzah ditempa atas usahanya sendiri. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Fahmi Fadzil menafikan dakwaan nepotisme dalam parti apabila wujud cadangan agar Nurul Izzah dicalonkan sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan parti yang akan datang.
Ringkasan AI
- Fahmi Fadzil menafikan dakwaan nepotisme dalam PKR berhubung cadangan pencalonan Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden, dengan menegaskan bahawa beliau masih menjawat jawatan Naib Presiden.
- PKR meraikan demokrasi, dan pemilihan Mei ini akan memberi peluang kepada anggota parti untuk memilih pemimpin yang sesuai bagi penggal 2025-2028.
- Beberapa Ketua Cabang Wilayah Persekutuan menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah, yang dikenali sebagai Puteri Reformasi. Namun, beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan bertanding jawatan Timbalan Presiden.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Nurul Izzah masih menjawat sebagai Naib Presiden PKR jadi dakwaan tersebut tidak menimbulkan apa-apa perkara.
“Tidak benar, Nurul Izzah sekarang adalah Naib Presiden, sekarang pun dia menjawat jawatan itu, jadi tak timbul apa-apa perkara,” katanya semasa sidang media mingguan di Putrajaya.
Menurut Fahmi, PKR juga meraikan demokrasi dan menyerahkan sepenuhnya kepada anggota untuk membuat pilihan semasa pemilihan parti pada Mei.
“Keadilan meraikan demokrasi dan kita serahkan kepada kebijaksanaan anggota untuk buat pilihan, pemimpin-pemimpin yang mereka rasakan cocok dan sesuai dengan harapan, aspirasi dan juga apa yang mereka dambakan untuk penggal 2025-2028,” katanya lagi.
Dalam kenyataan berasingan Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut senada dengan beberapa Ketua Cabang Wilayah Persekutuan yang menyatakan sokongan kepada Nurul Izzah.
Bagi Fahmi, gelaran Puteri Reformasi dinobatkan kepada Nurul Izzah ditempa atas usahanya sendiri.
“Gelaran Puteri Reformasi dinobatkan kepada beliau yang sekian lama berdiri di atas kaki sendiri menempa nama sebagai pemimpin parti yang sebati dengan liku-liku perjuangan yang memberikan Nurul Izzah pengalaman luas mengemudi bahtera parti,” katanya lagi.
Namun Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu belum memutuskan untuk bertanding jawatan kedua dalam parti, sebaliknya memberi jaminan akan membuat 'keputusan terbaik' mengenai perkara itu.