POLITICS

Pemilihan PKR : ‘Mana ada padang tak sama rata’ - Pak Ya

Firdaus Azil 22/05/2025 | 07:10 MYT
Mohd Yahya (foto) menolak dakwaan wujudnya ‘padang tidak rata’ dalam pemilihan parti, sambil menegaskan semua calon telah menerima taklimat dan maklumat lengkap mengenai peraturan pertandingan. -Gambar fail
JOHOR BAHRU: Pertembungan antara pemimpin utama dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pemilihan Kongres PKR kali ini disifatkan sebagai perkara biasa dan sebahagian daripada proses demokrasi yang sihat dalam parti itu.


Ringkasan AI
  • Pertembungan antara pemimpin utama dalam PKR seperti Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar dianggap sebagai amalan biasa dalam proses demokrasi parti, bukan tanda perpecahan.
  • Mohd Yahya Mat Sahri menegaskan semua calon telah diberi taklimat lengkap dan menolak dakwaan ketidaktelusan dalam pemilihan, sambil menyatakan saluran aduan telah disediakan.
  • Beliau menyeru agar pemimpin parti bersikap matang dan tidak merajuk selepas kalah, serta menekankan bahawa isu pemilihan adalah urusan dalaman dan tidak harus dikaitkan dengan kedudukan PKR dalam Kerajaan Perpaduan.


Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, pertembungan di antara Datuk Seri Rafizi Ramli Rafizi dan Nurul Izzah Anwar dalam jawatan Timbalan Presiden PKR, pernah terjadi, katanya lagi.

Beliau berkata sejarah memperlihat perebutan jawatan nombor dua parti sentiasa hangat, khususnya pertembungan di antara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 2013, serta Rafizi dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

"Pada saya, ini adalah amalan biasa dalam demokrasi dan tidak seharusnya dilihat sebagai perpecahan. Proses pertandingan menunjukkan kita memberi ruang kepada pemimpin akar umbi dan pusat untuk dipilih secara telus,” katanya lagi.

Mohd Yahya juga menolak dakwaan wujudnya ‘padang tidak rata’ dalam pemilihan parti, sambil menegaskan semua calon telah menerima taklimat dan maklumat lengkap mengenai peraturan pertandingan.

"Setiap calon yang masuk bertanding sudah maklum dengan peraturan. Jadi tidak wajar selepas tewas, ada yang mempertikaikan sistem atau mendakwa berlaku ketidaktelusan," katanya.

Mengulas kenyataan Rafizi yang membangkitkan dakwaan ketidaktelusan dalam proses pemilihan cabang, Mohd Yahya yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Dalam Negeri berkata, sistem dan jawatankuasa pemilihan telah diluluskan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang turut disertai oleh Rafizi sendiri selaku Timbalan Presiden.

"Kalau ada aduan, saluran telah disediakan. Jangan apabila kalah, kita mula mengaitkan pelbagai teori atau membuat tuduhan.

"Sikap seperti merajuk selepas kekalahan tidak sepatutnya wujud dalam kalangan pemimpin yang mahu membawa reformasi.

"Kalau hendak jadi pemimpin negara, perlu kuat jiwa dan matang dalam berpolitik. Ini bukan soal kalah atau menang semata-mata, tetapi soal memperkukuh parti," tegas beliau.

Mohd Yahya turut menegaskan bahawa isu pemilihan parti adalah urusan dalaman dan tidak sepatutnya dikaitkan dengan kedudukan PKR dalam Kerajaan Perpaduan.









#mohd yahya mat sahri #Pemilihan Kongres PKR #Nurul Izzah Anwar #Rafizi Ramli