[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
POLITICS

Pemilihan PKR: Menang tanpa bertanding, Ahmad Farhan janji terus gembleng tenaga anggota parti

Kenyataan Media 20/04/2025 | 07:44 MYT
Ahmad Farhan yang diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Cabang PKR Indera Mahkota dalam Pemilihan Parti PKR 2025 berjanji akan terus menggembeleng tenaga seluruh anggota parti. - FB Ahmad Farhan
INDERA MAHKOTA: Datuk Ahmad Farhan Fauzi yang diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Indera Mahkota dalam Pemilihan Parti PKR 2025 berjanji akan terus menggembleng tenaga seluruh anggota parti.
Menurut Ahmad Farhan dalam satu kenyataan di media sosial hari ini, beliau percaya bahawa semua anggota adalah dalam satu pasukan yang sama.
"Setiap individu punya nilai dan kekuatan tersendiri untuk dimanfaatkan demi rakyat dan parti. Kita juga akan terus mengangkat suara anggota parti sebagai nadi kekuatan cabang ini, serta memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap PKR sebagai wadah harapan dan pembela nasib rakyat.
"Namun kita sedar, pemilihan ini hanyalah satu fasa. Peranan kita yang jauh lebih besar menanti — iaitu memenangi semula kerusi Parlimen Indera Mahkota dan memastikan PKR terus memimpin di Putrajaya. Itulah medan sebenar kita," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berpesan, untuk seluruh anggota satukan tenaga, kukuhkan tekad dan bergerak sederap demi cita-cita reformasi.
"Mari kita satukan tenaga, kukuhkan tekad, dan bergerak sederap demi cita-cita reformasi. Kita bukan hanya memilih pemimpin, kita memperbaharui harapan," katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada semua calon dan menyifatkan kesemua menunjukkan kematangan dalam berpolitik dengan menghormati prinsip demokrasi dan idealisme perjuangan PKR.
Beliau juga menzahirkan rasa simpati atas keputusan yang tidak memihak kepada CK Chan yang disifatkan sebaga anggota dan pejuang yang tidak pernah kenal erti penat dalam mengangkat suara rakyat dan percaya sumbangannya akan terus relevan dan diperlukan dalam parti.
"Saya juga mengucapkan tahniah kepada saudara Zukri Akhsah atas kemenangan beliau sebagai Timbalan Ketua Cabang. Selamat kembali ke gelanggang utama, pengalaman saudara pastinya akan memperkukuh pasukan kepimpinan kita.
"Bagi saya, demokrasi bukan soal menang atau kalah tetapi soal suara rakyat, penyertaan akar umbi dan amanah yang kita pikul bersama," katanya.
#Parlimen #PKR #Parti Keadilan Rakyat #Datuk Ahmad Farhan Fauzi