POLITICS
Pemilihan PKR peringkat cabang: 'Kumpulan ketiga' telah bersuara - Penganalisis
Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat cabang merangkumi AMK dan Wanita, menyaksikan beberapa 'nama besar' serta berjawatan dalam kerajaan, disahkan tewas - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat cabang menyaksikan wujud 'kumpulan ketiga' yang telah mula bersuara dan memberi mesej penting kepada kepimpinan parti.
Timbalan Naib Canselor (Pembangunan Pelajar dan Jaringan Komuniti) Universiti Selangor, Prof Madya Hamdan Mohd Salleh berpandangan, 'kumpulan ketiga' tersebut adalah akar umbi yang tidak berpaksikan kepada cai atau kelompok, dan mencerminkan sokongan mutlak kepada presiden parti.
Katanya lagi, 'kumpulan ketiga' juga dilihat akan memainkan peranan cukup penting dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan menuju pilihan raya akan datang.
"Kenapa saya melihat 'kumpulan ketiga' apabila cai tidak menjadi paksi utama. Walaupun ada cai dan kelompok sebagai contoh, ada Ketua Cabang tewas tetapi kumpulannya menang. Misalnya, Shah Alam dan Selayang.
"Selain itu, cukup unik berlaku di Kuala Selangor, yang mana kepelbagaian naratif ini mampu melahirkan pelbagai pemenang.
"Ini menunjukkan bahawa ada 'kumpulan ketiga' yang ingin melihat perubahan dan ada yang membangkitkan, kenapa dia kalah tetapi kumpulan atau kelompok dan cainya menang? Ini saya bezakan (sebagai) ahli akar umbi yang kita lihat mampu mencorak perubahan di peringkat cabang," katanya kepada Astro AWANI, pada Selasa.
Hamdan menambah suara 'kumpulan ketiga' dianggap cukup relevan bagi sebuah parti seperti PKR dan mereka tidak membuat pemilihan berdasarkan 'siapa kepala' .
Jelas beliau, keputusan pemilihan di beberapa peringkat cabang turut menunjukkan bahawa aktivis-aktivis masyarakat semakin relevan kerana berjaya memperoleh kemenangan hasil penglibatan di lapangan.
Dalam masa sama, Hamdan tidak menolak kemungkinan bahawa keputusan di peringkat cabang akan memberi risiko kepada pemilihan MPP yang dijadualkan pada Mei ini.
Katanya, kemenangan di peringkat cabang dijangka memberi satu refleksi kepada mereka yang telah menawarkan diri untuk bertanding, kerana pemilihan MPP sebelum ini dilihat banyak bergantung kepada cai atau kelompok.
"Jadi adakah ini akan berlaku pada pemiihan 2025? Adakah perwakilan kali ini seramai 20,000 - mengundi mengikut kelompok? Ini kerana selalunya MPP kebiasaannya dipilih daripada kelompok.
"Maka, ini perubahan yang cukup menarik tetapi saya tidak pasti sama ada ia bersifat perancangan di peringkat cabang atau bersifat organik. Adakah mereka akan memilih mengikut Ketua Cabang atau mengikut apa yang berlaku sekarang.
"Pemimpin cabang tak sementerinya menang semua dan yang kalah tak semestinya kalah semua. Ini satu cabaran dan keputusan yang cukup menarik untuk dilihat nanti. Tetapi saya lihat sekarang ini ia adalah satu mesej sangat jelas iaitu akar umbi melihat kepada keyakinan dan sokongan penuh kepada Presiden Keadilan," ujar beliau.
Pemilihan PKR 2025 bagi peringkat cabang merangkumi Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita, menyaksikan beberapa 'nama besar' serta berjawatan dalam kerajaan, termasuk penyandang yang bertanding, disahkan tewas.
Antaranya, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga Naib Presiden PKR, kalah mengejut kepada pengarah serta pelakon, Datuk Afdlin Shauki, dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa.
Senasib dengan Ahli Parlimen Setiawangsa itu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.
Turut kecundang dalam pertandingan jawatan Ketua Cabang ialah Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswathy (Bukit Bintang); Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan (Wangsa Maju); Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran (Batu); Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau); dan EXCO Pulau Pinang, Fahmi Zainol (Jelutong).