POLITIK
Pemilihan PKR: : Rafizi persoal tindakan MCMC, PDRM terhadap netizen
Rafizi berkata, kandungan yang disiasat hanyalah pandangan peribadi rakyat biasa dan tidak melanggar mana-mana undang-undang. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mempersoalkan tindakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap beberapa pengguna media sosial yang mengulas mengenai pemilihan parti itu baru-baru ini.
Rafizi yang juga Menteri Ekonomi memberitahu menerima aduan daripada orang awam yang mendakwa mereka dikenakan pelbagai bentuk tindakan selepas memuat naik pandangan peribadi berkenaan perjalanan dan keputusan pemilihan PKR di platform media sosial mereka.
“Tindakan yang diambil termasuk laporan daripada MCMC kepada platform X, mendakwa kandungan tersebut melanggar undang-undang negara, lawatan pegawai MCMC dan polis ke kediaman individu yang diadu tanpa sebarang dokumen rasmi, notis siasatan yang dikeluarkan serta rampasan telefon pintar dan kad SIM milik mereka,” katanya dalam kenyataan, di sini pada Isnin.
Dalam kenyataannya itu, Rafizi turut melampirkan beberapa dokumen berkaitan termasuk laporan polis yang dibuat oleh isteri seorang individu yang terlibat, notis siasatan MCMC serta senarai barangan yang dirampas pihak polis.
Menurut Rafizi, kandungan yang disiasat hanyalah pandangan peribadi rakyat biasa dan tidak melanggar mana-mana undang-undang.
"Setelah saya meneliti aduan-aduan ini, saya berpendapat kaedah ini hanyalah satu bentuk intimidasi untuk menekan orang awam dari tidak lagi buat kandungan mengenai perjalanan dan keputusan pemilihan PKR," katanyanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, tidak pernah mengarahkan tindakan diambil terhadap mana-mana individu terbabit.
Bagaimanapun, beliau khuatir kemungkinan wujud individu tertentu yang berselindung di sebalik nama pemimpin untuk mengarahkan tindakan sedemikian dilakukan oleh agensi penguatkuasa.
“Saya menyeru agar tindakan intimidasi seperti ini dihentikan serta-merta. Saya juga menasihati penjawat awam supaya tidak tunduk kepada tekanan politik dalam menjalankan tugas harian mereka," katanya.
Dalam kenyataan sama, Rafizi memaklumkan bahawa beliau sudah berbincang dengan sekumpulan peguam sukarela yang bersedia mewakili individu-individu yang menjadi mangsa intimidasi, termasuk mengambil tindakan undang-undang jika perlu.