POLITICS

Pemilihan PKR: Rafizi terajui cabang Pandan, Abdullah Sani tewas

Sinar Harian 13/04/2025 | 07:49 MYT
Rafizi (kiri), Abdullah Sani (kanan).
SHAH ALAM: Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berjaya menumbangkan lawannya dan memenangi jawatan Ketua Cabang Keadilan Pandan dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025.

Kemenangan ini menjadi tumpuan ramai dan dijangka memberikan impak yang signifikan terhadap landskap politik Selangor dan nasional.

Berdasarkan keputusan rasmi diumumkan, daripada 1,771 ahli yang layak mengundi di Cabang Pandan, sejumlah 1,334 kertas undi telah dikeluarkan.

Rafizi berjaya meraih sokongan padu dengan memperolehi 883 undi, jauh meninggalkan pencabarnya, Shahrom Musa yang hanya meraih 441 undi.

Kemenangan besar itu bukan sahaja menunjukkan kepercayaan yang mendalam daripada ahli-ahli Cabang Pandan terhadap visi dan kepimpinan Rafizi, tetapi juga dilihat sebagai satu isyarat jelas akan keinginan perubahan dan pembaharuan dalam kepimpinan parti di peringkat akar umbi.

Sementara itu, perkembangan mengejutkan berlaku dalam pemilihan Ketua Cabang Keadilan Kapar bagi penggal 2025–2028 apabila bekas Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid gagal mempertahankan pengaruhnya dan tewas dalam persaingan sengit merebut jawatan tersebut.

Berdasarkan keputusan rasmi yang dikeluarkan, daripada 4,660 ahli yang layak mengundi di Cabang Kapar, sebanyak 3,020 kertas undi telah dikeluarkan.

Keputusan akhir menunjukkan Abdullah Sani hanya meraih 618 undi, jauh di belakang pemenang, Azizi Ayob yang memperoleh 1,580 undi.

Turut bertanding ialah Muhammad Huzaini Muhammad Rasid dengan 331 undi dan M Mathuraiveeran Marimuthu dengan 477 undi.

Kekalahan Abdullah Sani yang sebelum ini merupakan tokoh penting dan wakil rakyat Kapar pastinya mengejutkan banyak pihak.

Beliau telah lama berkhidmat dan memiliki pengaruh yang signifikan di kawasan itu dan kegagalannya untuk memenangi jawatan Ketua Cabang telah menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai perubahan sokongan dan dinamika politik di peringkat akar umbi PKR Kapar. - Sinar Harian




#pemilihan PKR #Rafizi Ramli #Abdulllah Sani #cabang Pandan