POLITICS
Pemilihan PKR: Shamsul Iskandar sah terajui Keadilan Hang Tuah Jaya

Shamsul Iskandar secara rasmi telah dipilih sebagai Ketua Cabang Keadilan Hang Tuah Jaya bagi penggal 2025-2028.
KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin secara rasmi telah dipilih sebagai Ketua Cabang Keadilan Hang Tuah Jaya bagi penggal 2025-2028.
Keputusan itu dikongsi Pengarah Kempennya, Farhan Ibrahim dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Menurut Farhan, kemenangan itu mencerminkan kepercayaan dan sokongan padu daripada majoriti anggota parti terhadap kepimpinan Shamsul Iskandar dan pasukan #keadilanmemimpin.
“Kami ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh anggota parti yang telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjayakan pesta demokrasi KEADILAN.“Pengalaman dan Komitmen Datuk Seri Shamsul Iskandar merupakan seorang pemimpin yang tidak asing lagi dengan pengundi di Hang Tuah Jaya. Kemenangan beliau ibarat sirih pulang ke gagang,” katanya lagi.
Farhan berkata, Shamsul Iskandar mempunyai pengalaman yang luas dalam arena politik, termasuk pernah diberikan amanah sebagai Timbalan Menteri Industri Utama selain merupakan Ketua Cabang KEADILAN Jasin bermula 2004.
Katanya lagi, Shamsul Iskandar juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Katil dan juga Hang Tuah Jaya.
“Kami percaya bahawa tugas utama beliau ialah untuk segera menyusun organisasi Keadilan Hang Tuah Jaya dan melakukan persiapan awal untuk berdepan dengan pilihan raya negeri Melaka yang dijangka akan diadakan pada tahun hadapan.
“Tentunya semangat kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan akan diterjemahkan dengan memperkukuh kerjasama dengan parti-parti komponen di negeri Melaka,” katanya lagi.
Mewakili Shamsul Iskandar, Farhan berkata mereka juga mengharapkan kesemua anggota parti akan bergabung tenaga dengan kepimpinan yang baru dalam memastikan KEADILAN terus bergerak seiring dan senada dalam melakukan perubahan dan berkhidmat kepada rakyat.
Media sebelum ini melaporkan keputusan rasmi bagi Pemilihan PKR 2025 di peringkat cabang negeri Selangor, termasuk Melaka dan Perlis, kini sedang melalui proses pengauditan teliti oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
Menurut notis yang dikeluarkan JPP pada Ahad, keputusan penuh hanya akan diumumkan dan dimuat naik di laman sesawang rasmi, pemilihan.keadilanrakyat.org, pada Ahad, 13 April 2025 jam 12 tengah hari.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami