[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
POLITICS

Pemilihan PKR: ‘Sudah hantar surat, tunggu jawapan’ - Nik Nazmi

Seth Akmal 26/04/2025 | 05:14 MYT
Nik Nazmi bercakap kepada media semasa melawat Pusat Konservasi Hidupan Liar (PHKL) sempena sambutan Hari Tapir Sedunia di Hulu Selangor, hari ini. - Foto NRES/Hazrol Zainal
HULU SELANGOR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan bahawa beliau telah menghantar surat rayuan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

Ringkasan AI
  • Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan penghantaran surat rayuan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dijangka membincangkan keputusan pemilihan cabang PKR.
  • Nik Nazmi tewas kepada Afdlin Shauki dalam pemilihan Ketua Cabang PKR Setiawangsa, bersama beberapa pemimpin kanan parti lain yang turut kalah dalam pemilihan.
  • Nik Nazmi kekal optimis terhadap perkembangan politik semasa, meskipun menghadapi cabaran dalam pemilihan parti.

Menurut beliau lagi satu mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan diadakan hari ini yang dijangka akan membincangkan soal keputusan pemilihan di peringkat cabang semasa Pemilihan Parti Keadilan 2025.
“Kita sudah menghantar surat dan akan tunggu jawapan, hari ini ada mesyuarat MPP, jadi kita tunggu keputusan dia,” katanya.
Malah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Malaysia itu juga optimis dengan ombak politik yang berlaku semasa pemilihan kali ini.
“Sentiasa optimis,” jawabnya ringkas ketika ditemui media semasa melawat Pusat Konservasi Hidupan Liar (PHKL) sempena sambutan Hari Tapir Sedunia di sini, hari ini.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa memaklumkan bahawa status bantahan yang diterima daripada pemilihan cabang PKR akan diumum minggu depan.
Nik Nazmi tewas kepada pengarah dan pelakon terkenal, Afdlin Shauki dalam mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Setiawangsa pada 19 April lalu,
Beliau hanya memperoleh 563 undi berbanding lawannya yang memperoleh 631 undi.
Selain Nik Nazmi, beberapa pemimpin kanan parti yang berjawatan Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen juga turut tewas semasa pemilihan tersebut.
Antaranya ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim (Hang Tuah Jaya), Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir (Johor Bahru), Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran (Batu) dan Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan (Wangsa Maju).
#Afdlin Shauki #Nik Nazmi #pemilihan PKR #keputusan rayuan #terkini