PUTRAJAYA: Tiada rombakan Kabinet bakal berlaku susulan daripada keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ringkasan AI
  • Tiada rombakan Kabinet akan berlaku susulan keputusan pemilihan PKR 2025, menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
  • Keputusan pemilihan adalah urusan parti dan tidak berkaitan dengan kerajaan negeri atau pusat.
  • Masalah pemilihan akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang akan diadakan pada Rabu.


Menurut Anwar, keputusan pemilihan merupakan urusan parti, malah tiada kaitan dengan urusan kerajaan negeri atau pusat.

“Tiada, ini pemilihan parti, ini soal parti bukan soal kerajaan negeri atau pusat,” katanya.

Malah Anwar yang juga Presiden PKR berkata beliau melihat prestasi berdasarkan komitmen ahli Kabinetnya bukan berdasarkan percaturan politik.

“Saya lihat prestasi masing-masing, bukan dari segi percaturan politik,” katanya lagi.

Tambahnya, masalah yang timbul semasa pemilihan boleh dibangkitkan semasa mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang akan diadakan pada Rabu.

Anwar ditemui wartawan ketika melawat rumah terbuka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di sini, hari ini.

Turut menemani beliau ialah Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Pemilihan PKR kali ini menunjukkan beberapa pemimpin kanan parti tewas di peringkat cabang untuk jawatan ketua dan timbalan.

Antara yang kecundang ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasir, Ahli Parlimen Batu P Prabakaran dan beberapa pemimpin lain.

Nik Nazmi dalam kenyataannya pada 19 April juga akan merujuk Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) berhubung keputusan pemilihan Ketua Cabang Setiawangsa pada Pemilihan PKR 2025.