Pemilihan UMNO: Hampir semua ketua bahagian di Perak kekal

Abd Razak Mohd Ali
Mac 19, 2023 09:46 MYT
Saarani dan Ahmad Zahid menang tanpa bertanding bagi jawatan ketua bahagian masing-masing. - Gambar fail
IPOH: Hampir semua Ketua UMNO Bahagian di Perak berjaya mengekalkan jawatan masing-masing pada Pemilihan UMNO yang dijalankan pada Sabtu.
Daripada 24 bahagian keseluruhan, 12 penyandang ketua bahagian yang bertanding berjaya menewaskan lawan masing-masing.
Antara mereka yang kekal termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahrudin di Bahagian Tapah; ADUN Lintang, Datuk Mohd Zolkafly Harun (Sungai Siput); Datuk Sham Mat Sahat (Bagan Serai), Datuk Hang Tuah Din (Gopeng) dan Datuk Azhar Ahmad (Beruas).
Hanya Ketua UMNO Bahagian Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Mat Ali gagal mempertahankan jawatan apabila tewas kepada Mohd Jamil Jahaya.
Tujuh ketua bahagian pula menang tanpa bertanding iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Saarani Mohamad (Lenggong); Datuk Seri Zambry Abd Kadir (Lumut); Datuk Shamsuddin Abdul Ghaffar (Ipoh Barat); Datuk Azian Osman (Ipoh Timor); Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas) dan Datuk Mohd Yusoff Kassim (Batu Gajah).
Pemilihan pada Sabtu turut menyaksikan empat bahagian pula mendapat ketua UMNO yang baharu melibatkan Pasir Salak yang dimenangi Khairul Azwan Harun, Bukit Gantang (Mohammad Sollehin Mohamad Tajie), Parit Buntar (Mohd Jamil) dan Larut (Datuk Mohammad Daud Mohd Yusoff).
#Pemilihan UMNO #Perak #ketua bahagian #Saarani Mohamad