KUALA SELANGOR: UMNO Bahagian Tanjong Karang diingatkan tidak memilih pengkhianat parti untuk mengemudi bahagian itu pada pemilihan parti yang diadakan pada 18 Mac depan.

Bekas Ketua UMNO Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, ahli parti perlu membuat keputusan tepat dengan tidak memilih mereka yang tidak bersatu-padu.

"Berilah muka-muka baharu, saya nasihat buatlah demikian kerana hanya ada seorang dua yang memecah-belah parti UMNO (Bahagian Tanjong Karang)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Majlis Jasamu Dikenang di Apps Hotel Pasir Penambang pada Ahad

Noh memberitahu, beliau turut kecewa apabila pihak yang mengambil alih tugasnya menukar sesuka hati beberapa jawatan lantikan dalam bahagian itu.

"Saya kecewa apabila ada yang tukar setiausaha, bendahari dan ahli jawatankuasa (UMNO Bahagian Tanjong Karang), sedangkan dua bulan sahaja lagi pemilihan.

"Sepatutnya, pada masa ini, UMNO Bahagian Tanjong Karang menyusun untuk pentadbiran, bukannya mana yang dicop sebagai orang saya dibuang. Jadi, mana datang perpaduan?" soalnya.

Ditanya pendirian beliau selepas dipecat daripada UMNO, Noh memberitahu, beliau belum membuat sebarang keputusan mengenai hala tuju politik pada masa ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau lebih selesa untuk menjadi penceramah bebas terutama dalam persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

"Kalau Bersatu (Parti Peribumi Bersatu Malaysia) atau Pas hendak jemput bagi ceramah saya akan beri. Kalau UMNO pun sudi menjemput saya, jemputlah," kata beliau.

- Sinar Harian