Terkini: Kes Pelajar Jatuh dari Asrama di Sabak Bernam – Ikuti perkembangan di sini
POLITIK

Pemimpin, ahli UMNO perlu guna saluran betul - Azalina

Bernama 27/08/2025 | 06:35 MYT
Azalina berucap pada Majlis Himpunan Bulanan dan Majlis Kibaran Jalur Gemilang Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Pemimpin dan ahli UMNO yang tidak berpuas hati dengan sebarang isu atau tindakan perlu menggunakan saluran parti termasuk mengemukakan laporan kepada Lembaga Disiplin, kata Ketua Penerangannya Datuk Seri Azalina Othman Said.


Ringkasan AI
  • Azalina menegaskan bahawa ahli UMNO yang tidak berpuas hati perlu menggunakan saluran parti seperti Lembaga Disiplin untuk menyuarakan aduan atau ketidakpuasan.
  • Sejak penubuhannya pada 1946, UMNO mempunyai prosedur dan tradisi dalam menangani isu disiplin secara berstruktur dan beretika.
  • Azalina menekankan bahawa UMNO mengamalkan demokrasi dalam pelbagai bentuk kritikan, sokongan, dan ketidaksetujuan dan isu serius boleh dibawa ke Majlis Tertinggi untuk dibincangkan.


Azalina, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), berkata sejak ditubuhkan pada 1946, UMNO mempunyai sistem serta prosedur tersusun dalam menangani isu melibatkan disiplin anggotanya.

"Saya lihat kalau ada sesiapa yang tidak berpuas hati, mereka boleh lapor kepada Lembaga Disiplin parti. UMNO adalah parti ada tradisi, apa-apa isu biasanya dibawa kepada perbincangan," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan dan Majlis Kibaran Jalur Gemilang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perbalahan antara Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ahli Majlis Tertinggi parti berkenaan Datuk Lokman Noor Adam.

Muhamad Akmal dilaporkan telah mencabar Lokman Noor supaya berdepan dengannya sama ada di mahkamah atau di gelanggang ekoran tuduhan kononnya beliau mempunyai agenda tersembunyi untuk menaikkan Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebagai Perdana Menteri.

Menyentuh mengenai surat daripada Pemuda UMNO Kapar kepada Lembaga Disiplin yang mendesak agar tindakan diambil terhadap Lokman Noor atas dakwaan melanggar disiplin dan etika parti, Azalina berkata perkara itu boleh disalurkan kepada parti untuk dibincangkan.

"UMNO mengamalkan demokrasi... nak kritik pun demokrasi, tak setuju pun demokrasi, sokong pun demokrasi... UMNO ini parti lama, pelbagai karakter ada dalam kalangan ahli dan kepimpinan... kalau isu serius, ia boleh dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi," katanya.

-- BERNAMA




#ahli UMNO #Azalina Othman Said #rasa tidak puas hati #Muhamad Akmal Saleh #Lokman Noor Adam