POLITIK

Pemimpin Bersatu sertai DAP? - 'Sila ikut prosedur' - Hannah Yeoh

Pia Ernadya 31/01/2026 | 11:25 MYT
Dr Wan Azizah (depan, tengah) dan Hannah (depan, tiga, kiri) pada Majlis Perasmian Karnival Kuala Lumpur MADANI sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2026 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Sesiapa yang mahu menyertai mana-mana parti politik, termasuk DAP perlu melalui prosedur keahlian yang ditetapkan oleh parti.

Demikian kata Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Hannah Yeoh, merujuk kepada tindakan beberapa pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Selangor, menyatakan hasrat untuk menyertai DAP.

Mengulas lanjut, Hannah yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata, setiap parti politik mempunyai proses pendaftaran keahlian tersendiri dan individu berminat boleh memohon secara rasmi melalui saluran yang ditetapkan.

"Sesiapa pun kalau nak masuk mana-mana parti politik... ada membership form (dan) individu yang ada hasrat boleh berhubung dengan urus setia.

"Tak kira mana partilah, mereka boleh dapatkan maklumat atau borang daripada parti masing-masing," beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Kuala Lumpur MADANI di sini pada Sabtu.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sebelum ini, beberapa pimpinan Bersatu dari Selangor dilapor berjumpa Pengerusi DAP Cawangan Wangsa Permai Kepong, Muhammad Najmi Samsudin bagi menyatakan hasrat untuk menyertai DAP.

Muhammad Najmi melalui hantaran di media sosial DAP Cawangan Wangsa Permai Kepong, kemudian berkata, beliau mengalu-alukan penyertaan mereka sekiranya dibuat secara ikhlas serta jelas dengan hala tuju parti.


#Hannah Yeoh #DAP #Bersatu #keluar parti