SHAH ALAM: Pemimpin politik tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman bagi mengelak ia terus mempengaruhi masyarakat.

Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Syaza Farhana Mohamad Shukri berkata, jika pemimpin politik terus memainkan isu perkauman, ia akan meruntuhkan Kerajaan Perpaduan yang bakal dibina.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri sudah menjelaskan kerajaan yang akan dibentuknya akan terus memelihara hak keistimewaan orang Melayu, Islam sebagai agama rasmi dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.

“Ahli politik semua dah tahu kalau mereka ada aspirasi nak pimpin negara ini mereka tidak sentuh tiga perkara tadi tapi ada pula yang cakap macam-macam kononnya Kerajaan Perpaduan ini akan sisihkan orang Melayu dan Islam, ini tidak betul,” katanya dalam program Kompas Rasuah Busters 'Awas perangkap hasutan' yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panelis, penulis dan penterjemah, Marwan Bukhari A Hamid dengan program dihoskan oleh Fatin Hamimah Yusof.

Menurutnya, Malaysia kini berada dalam fasa baharu demokrasi.

“Kalau negara barat setiap lima, enam tahun mereka dah biasa bertukar kerajaan.

“Sudah 60 tahun kita ada satu gabungan yang kuat memerintah dan tak pernah ada keperluan untuk Barisan Nasional (BN) betul-betul bertolak ansur dan berbincang dengan pihak lawan kerana mereka menguasai Parlimen untuk sekian lamanya,” katanya.

Dari kiri: Fatin Hamimah, Syaza Farhana dan Marwan Bukhari dalam Kompas Rasuah Busters 'Awas perangkap hasutan' yang disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu. Foto Sinar Harian

Jelasnya, perubahan ini bermula secara beransur sejak tahun 2008, apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bekerjasama dengan parti pembangkang, Pakatan Harapan (PH).

“Jadi ini kematangan politik yang kita cuba nak rasa jadi pada ketika inilah ahli-ahli politik dan pemimpin perlu ambil peluang untuk pupuk semangat kebersamaan.

“Sewaktu berkempen semua parti cuba mempengaruhi untuk mendapatkan undi dan bezanya sekarang semua parti politik kena duduk berbincang bagaimana untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Malaysia.

“Memang agak sukar kerana mempunyai masing-masing mempunyai idelogi berbeza. Sukar ini perlu ambil masa sebab ada banyak parti dan kena ambil pandangan setiap pihak.

“Kita mahu pemimpin yang bertolak ansur sebab Malaysia ini terdiri daripada pelbagai kaum. K ita mahu semua idea yang ada diambil kira dan dasar baharu yang diputuskan kerajaan nanti adalah paling terbaik dan diterima majoriti rakyat,” ujarnya. - Sinar Harian