POLITIK

Pemimpin Pas 'kunci mulut' intipati mesyuarat

Sinar Harian 31/01/2026 | 07:41 MYT
Pada Jumaat, barisan pemimpin tertinggi Pas termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkumpul di sebuah hotel di Bangi bagi menghadiri program pemukiman parti itu. - Gambar fail/Bernama
SHAH ALAM: Pemimpin Pas yang menghadiri permukiman parti di sebuah hotel di Bangi bertindak mengunci mulut berhubung intipati mesyuarat mereka bermula pada Jumaat.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan tidak dapat berkongsi perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu.

"Tak boleh kongsi," katanya ringkas kepada Sinar Harian pada Sabtu ketika ditanya berhubung perkara dibincangkan dalam parti sama ada ia turut membincangkan keadaan terkini dalam PN dan segala isu kepimpinan PN.

Pada Jumaat, barisan pemimpin tertinggi Pas termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkumpul di sebuah hotel di Bangi bagi menghadiri program pemukiman parti itu selama tiga hari sehingga Ahad.

Turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad, Ketua Pemuda PN, Afnan Hamimi Taib Azamudden, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari serta Muhammad Sanusi.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar memaklumkan, pemukiman terbabit hanyalah 'retreat' biasa dijalankan setiap tahun.

"Streamline Indeks Petunjuk Prestasi (KPI), kerja-kerja yang perlu dibuat dan operasi parti seperti biasa," menurutnya lagi.

Sebelum ini, Abdul Hadi tidak hadir ke pertemuan antara ketua parti komponen Perikatan Nasional (PN) di kediaman Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis.

Bagaimanapun, Setiausaha Politiknya, Mohd Syahir Che Sulaiman memaklumkan, punca Ahli Parlimen Marang itu tidak hadir pertemuan disebabkan perubahan saat akhir jadual beliau, namun pandangan beliau telah disampaikan secara bersurat walaupun tidak hadir dalam pertemuan itu. -- Sinar Harian






#pemimpin Pas #permukiman parti #intipati mesyuarat #Abdul Hadi Awang #Muhyiddin Yassin #Perikatan Nasional